PRESIDEN MOM, Tan Sri Tunku Imran Tuanku Ja'afar bersikap terbuka terhadap siapa calon sesuai yang bakal mengisi jawatan nombor dua badan berkenaan. - Foto OWEE AH CHUN
PRESIDEN MOM, Tan Sri Tunku Imran Tuanku Ja'afar bersikap terbuka terhadap siapa calon sesuai yang bakal mengisi jawatan nombor dua badan berkenaan. - Foto OWEE AH CHUN
Azlan Muhammad Zain 


PRESIDEN Majlis Olimpik Malaysia (MOM), Tan Sri Tunku Imran Tuanku Ja'afar bersikap terbuka terhadap siapa calon sesuai yang bakal mengisi jawatan nombor dua badan berkenaan pada penggal akan datang.

Jelasnya, setiap individu berhak bertanding kerana proses memilih barisan kepimpinan MOM dibuat secara demokrasi. 

Menjelang pemilihan pucuk kempemimpinan MOM pada Jun ini, Timbalan Presiden MOM ketika ini, Datuk Seri Mohamad Norza Zakaria dijangka mengisi jawatan nombor satu, menggantikan Tunku Imran yang tidak mempertahankan kedudukannya. 

Ia sekaligus menyaksikan kekosongan jawatan Timbalan Presiden dengan tiga individu dikatakan akan merebut kerusi itu.

Mereka adalah Setiausaha Agung Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Datuk Hamidin Mohd Amin; Pengerusi Institut Sukan Negara (ISN), Datuk Seri Abdul Azim Mohd Zabidi dan Setiausaha Agung Persekutuan Silat Kebangsaan Malaysia (PESAKA), Datuk Megat Zulkarnain Omardin.

"Ini adalah spekulasi, saya fikir kita perlu menunggu senarai pencalonan, baru saya boleh mengulas lanjut. Jika sebelum pencalonan, ia hanya khabar angin.

"Bagaimanapun untuk mengisi jawatan Timbalan Presiden, keupayaannya perlulah sama dengan Presiden MOM. Beliau adalah pengganti apabila diperlukan," jelas Tunku Imran. 

Tambahnya, pengalaman luas dalam pelbagai aspek cukup penting bagi jawatan itu, selain mampu berkerja sebagai sebuah pasukan bersama pemimpin lain yang dipilih. 

"Ia bukan saja berkaitan sukan, ia merangkumi perkara lain seperti aspek kewangan, hubungan antarabangsa, (hubungan) dengan kerajaan dan sebagainya," katanya.

Berdasarkan aspek pengalaman, Hamidin boleh dilihat sebagai ‘orang lama’ dalam mengurus dan mentadbir persatuan sukan selain sudah cukup mengenali senario sukan di negara ini.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 14 Mac 2018 @ 7:31 PM