KOK Chi (kiri) menerima ucapan tahniah daripada Tunku Imran.
KOK Chi (kiri) menerima ucapan tahniah daripada Tunku Imran.
Oleh Azlan Muhammad Zain

Kuala Lumpur: Setiausaha Kehormat Majlis Olimpik Malaysia (MOM) Datuk Sieh Kok Chi sedia melepaskan jawatan yang disandangnya sejak 23 tahun lalu namun dengan bersyarat.

Syaratnya, Kok Chi hanya sedia untuk berundur dan memberi laluan jika Naib Presiden MOM Datuk Low Beng Choo sah bertanding jawatan berkenaan pada pemilihan yang dijadualkan berlangsung pada 22 Ogos nanti.

“Beliau (Beng Choo) memang berkelayakan. Jadi jika beliau mahu bertanding, saya sedia menjadi penolong setiausaha.

“Tapi, jika ada calon yang mahu bertanding menentang Beng Choo, saya tetap akan mengundur diri,” kata Kok Chi yang sudah menjadi Setiausaha Agung MOM sejak 1992.

Bagaimanapun Kok Chi, 76, berkata, beliau akan mempertahankan jawatan berkenaan sekiranya Beng Choo tidak berminat mengisi tugas yang bakal ditinggalkannya.

“Ada yang mengatakan saya tidak malu (terlalu memegang jawatan), namun saya tidak merasa begitu kerana kita memerlukan pengganti berkaliber. Saya tidak bermasalah untuk melepaskan jawatan ini jika ada yang berkelayakan.

“Saya tidak gilakan kuasa atau populariti kerana merasakan masih mampu menyumbang terutamanya menjelang Sukan SEA 2017 di Kuala Lumpur,” tambahnya.

Jelasnya, MOM baru saja selesai menghantar borang pencalonan kepada ahli gabungan dan calon bertanding bakal diketahui pada Rabu depan.

Menurutnya, seseorang pemimpin yang mahu bersama MOM perlu mempunyai rekod baik.

“Adalah tidak patut bagi individu itu untuk bersama MOM ketika beliau membuat kacau di persatuan sukan kebangsaan sendiri,” katanya.

Sehingga kini Datuk Seri Norza Zakaria dijangka bertanding jawatan Timbalan Presiden MOM dengan Kok Chi menyambut baik kesediaannya, selain bekas Timbalan Konfederasi Hoki Malaysia (KHM) Datuk Nur Azmi Ahmad mahu merebut salah satu kerusi Naib Presiden MOM.

Presiden MOM Tunku Tan Sri Imran Tuanku Ja’afar dijangka mempertahankan jawatan untuk penggal 2015/2017.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 4 Ogos 2015 @ 9:46 AM