Kebakaran rumah di Kampung Laloh, Kuala Krai yang menyebabkan kanak-kanak perempuan berusia empat tahun melecur hampir seluruh badan. FOTO ihsan bomba
Kebakaran rumah di Kampung Laloh, Kuala Krai yang menyebabkan kanak-kanak perempuan berusia empat tahun melecur hampir seluruh badan. FOTO ihsan bomba

Kota Bharu: Budak perempuan berusia empat tahun melecur hampir seluruh badan akibat kebakaran rumahnya di Kampung Laloh, dekat Kuala Krai, hari ini.

Penolong Pegawai Balai Bomba dan Penyelamat Kuala Krai Penolong Penguasa Bomba Mohamad Hanif Che Khalid berkata, dalam kejadian kira-kira 9 pagi itu, Fazlin Parozi berada bersendirian di dalam rumah sementara ibunya berada di halaman rumah.

"Mengikut maklumat ayahnya, mangsa yang berada di dalam rumah berlari keluar rumah untuk mendapatkan ibunya dalam keadaan semua bajunya sudah terbakar," katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.

Mohamad Hanif berkata, mangsa dibawa ke Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II) untuk rawatan lanjut dan dilaporkan stabil.

"Ketika bomba tiba, hampir 60 peratus kediaman itu terbakar. Api berjaya dipadamkan sepenuhnya pada 12.04 tengah hari," katanya.

Beliau berkata, siasatan awal mendapati punca kebakaran kemungkinan disebabkan penggunaan elektrik yang berlebihan atau mangsa bermain api di dalam rumah.

Katanya, kebakaran menyebabkan kerugian kira-kira RM125,000 dan punca kebakaran masih disiasat.

Sementara itu, ayah mangsa, Parozi Daud, 63, ketika dihubungi berkata, hampir 90 peratus badan anaknya melecur akibat kebakaran itu.

"Saya amat sedih melihat apa yang dialami anak bongsu saya kerana hampir seluruh badannya melecur...namun saya reda dan bersyukur dia masih bernyawa," katanya. Bernama

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 18 Ogos 2015 @ 9:46 PM