KEADAAN rumah yang musnah terbakar di Kampung Charok Kemuning Dalam. FOTO ihsan bomba
KEADAAN rumah yang musnah terbakar di Kampung Charok Kemuning Dalam. FOTO ihsan bomba
Noorazura Abdul Rahman


Sik: Warga emas maut manakala dua ahli keluarganya cedera dalam kebakaran di sebuah rumah di Kampung Charok Kemuning Dalam, di sini, pagi tadi.

Dalam kejadian kira-kira 5 pagi itu, mangsa, Siti Mariam Hat, 90, dikatakan gagal menyelamatkan diri ketika api marak sebelum ditemukan meninggal dunia di biliknya.

Menantu mangsa, Zalina Mohamad, 55, turut melecur pada kaki dan dibawa ke Hospital Sik untuk mendapatkan rawatan, manakala anaknya, Shuib Awang, 63, sempat menyelamatkan diri dan hanya mengalami cedera ringan.

Penolong Pengarah Bahagian Operasi Kebombaan dan Penyelamat, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kedah, Mohamadul Ehsan Mohd Zain berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian pada 5.23 pagi dan jentera tiba di lokasi pada 5.28 pagi.

"Api dapat dikawal pada 5.38 pagi, namun kami dimaklumkan terdapat seorang mangsa terperangkap di dalam rumah.

"Anggota kemudian berusaha memadam kebakaran dan menemui mangsa pada 6.02 pagi di dalam bilik rumah dua tingkat berkenaan," katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Mohamadul Ehsan berkata, tiga motosikal turut terbakar dalam kejadian itu dan pihaknya masih dilakukan untuk mengetahui punca kebakaran itu.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 4 Ogos 2021 @ 1:07 PM