KEADAAN rumah mangsa. FOTO Ihsan Bomba
KEADAAN rumah mangsa. FOTO Ihsan Bomba
Muhammad Apendy Issahak


IBU dan anak cedera melecur ketika menyelamatkan diri ketika kebakaran rumah mereka di Menglembu, Ipoh, hari ini.

Mangsa, wanita warga emas berusia 70-an melecur di tangan dan kepala, manakala anak lelakinya berusia 40-an melecur pada bahagian badan.

Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak berkata, pihaknya menerima maklumat mengenai kebakaran rumah itu, pada 12.04 tengah malam.

Menurutnya, kebakaran itu membabitkan sebuah rumah membabitkan dua mangsa, namun mangsa berjaya diselamatkan orang awam.

“Rumah terbabit musnah terbakar 80 peratus dan terdapat dua mangsa mengalami kecederaan iaitu seorang lelaki Cina melecur 75 peratus bahagian badan dan seorang wanita Cina melecur 40 peratus pada bahagian tangan dan kepala.

“Kedua-dua mangsa dibawa ke hospital dengan ambulans untuk mendapatkan rawatan lanjut dan difahamkan mereka berada dalam keadaan stabil,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Menurutnya, anggota daripada Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Pasir Puteh kemudian bertindak memadam kebakaran dengan menggunakan dua aliran paip dengan bersumberkan air dari tangki jentera.

“Operasi pemadaman diketuai Ketua Balai BBP Pasir Puteh, Mohamad Fadzeli Che Husin itu turut dibantu Pasukan Bomba Sukarela (PBS) Pekan Baru dan tamat sepenuhnya pada 1.40 pagi tadi,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 4 Julai 2019 @ 11:22 AM