BARISAN pemain dodgeball negara yang beraksi di Las Vegas.
BARISAN pemain dodgeball negara yang beraksi di Las Vegas.

Kuala Lumpur: Skuad dodgeball negara terus kempunan meraih gelaran dunia selepas pasukan lelaki dan wanita masing-masing meraih kedudukan kedua dan ketiga pada Kejohanan Dunia yang berlangsung di Las Vegas, kelmarin.

Hadir dengan reputasi tinggi selaku pasukan tidak pernah gagal menamatkan saingan di kedudukan podium sejak mula dipertandingkan pada edisi 2012 lalu, skuad bimbingan Jason Moriarity sekadar berpuas hati berada di belakang pasukan tuan rumah, Amerika Syarikat yang muncul juara buat pertama kali manakala Australia mengisi tangga ketiga.

Menurut Moriarity, biarpun anak buahnya gagal membawa pulang kejuaraan dunia, pencapaian itu baginya cukup berharga terutama dengan kekurangan kemudahan dan dana mencukupi tetapi mampu mengekalkan status selaku pasukan paling kuat di dunia.

“Sudah tentunya kami gembira dengan keputusan menamatkan kedudukan di tempat kedua (pasukan lelaki) dan ketiga (pasukan wanita) ini, walaupun tanpa banyak bantuan serta kemudahan.

“Pemain menunjukkan keazaman tinggi dengan semangat ‘Malaysia Boleh’ yang membuatkan mereka beraksi cukup bertenaga sepanjang kejohanan ini.

“Cuma sedikit kealpaan pada aksi bertemu Kanada menyebabkan pasukan lelaki kita tewas tipis 6-7 sekali gus memberi ruang kepada tuan rumah muncul juara. Apapun secara keseluruhan pemain menunjukkan aksi terbaik cuma tuah tidak memihak kami,” kepada Arena Metro, semalam.

Dalam kejohanan membabitkan lapan negara dengan menggunakan format satu pusingan liga itu, pasukan lelaki hanya tewas sekali kepada Kanada, namun menang kesemuanya bagi perlawanan bermula dengan aksi menentang Amerika Syarikat (6-5), Hong Kong (11-5), Mexico (10-2), New Zealand (13-3) dan Perancis ( 25-0).

Sementara itu bagi kategori wanita pula, juara juga milik Amerika Syarikat manakala Australia naib juara untuk berada di depan skuad negara.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 18 Ogos 2015 @ 8:06 AM