Oleh Mohd Firdaus Hashim


Kuala Lumpur: Skuad hoki lelaki negara wajib mengatasi Kanada dan Jepun pada Pusingan Ketiga Liga Hoki Dunia jika mahu beraksi di Sukan Olimpik Rio 2016.

Undian pusingan kelayakan menyaksikan skuad negara (rangking ke-12 dunia) diletakkan dalam Kumpulan B bersama tuan rumah, Belgium (5), Great Britain (4), Kanada (14) dan Jepun (16).

Kejohanan akan berlangsung di Brasschat, Belgium pada 20 Jun hingga 5 Julai.

Berdasarkan pemerhatian bekas jurulatih skuad kebangsaan Muhammad Dharma Raj Abdullah, cabaran pasukan benua Eropah (Belgium dan Great Britain) amat sukar digugat, namun peluang mendapatkan mata bertemu Kanada dan Jepun dijangka lebih mudah.

“Kita harus bersyukur kerana tidak diletakkan sekumpulan dengan pasukan kuat seperti Australia atau India.

“Skuad negara masih mempunyai peluang baik untuk layak sekiranya mampu mencuri mata ketika bertemu Kanada dan Jepun untuk menamatkan kedudukan di tangga ketiga kumpulan sebelum memastikan sekurang-kurangnya menduduki tempat kelima.

“Dari situasi ini, mungkin skrip sama berulang ketika pasukan negara layak ke Piala Dunia tahun lalu dengan mengharapkan ada pasukan juara benua muncul antara tiga terbaik dalam pusingan kelayakan itu.

“Jika itu terjadi, kita akan layak selaku pasukan kelima terbaik,” katanya, semalam.

Jelas Dharma lagi, skuad kendalian Tai Beng Hai kini berada dalam prestasi terbaik bagi mengharungi aksi getir di Belgium itu selepas membuktikannya di Singapura dengan muncul juara Pusingan Kedua Liga Hoki Dunia awal Januari lalu.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 20 Mac 2015 @ 6:00 AM