Kuala Lumpur: Malaysia berpeluang cerah layak ke separuh akhir Kejohanan Skuasy Berpasukan Wanita Dunia selepas menamatkan aksi kumpulan dengan rekod kemenangan 100 peratus apabila membenam Amerika Syarikat (AS) 3-0 di Ontario, Kanada, semalam.

Pilihan keempat kejohanan yang sekadar menduduki tangga ketiga bagi empat kejohanan terakhir akan bertemu Perancis pada suku akhir hari ini.

Pemain nombor satu dunia Datuk Nicol David memulakan penguasaan skuad wanita negara dalam aksi Kumpulan C dengan membenam Olivia Blatchford 11-4, 11-5, 11-4 dalam masa 31 minit saja.

Low Wee Wern kemudian mengalahkan bekas pemain nombor satu dunia Natalie Grainger 9-11, 11-9, 11-4, 11-4 dalam masa 33 minit sebelum Delia Arnold melengkapkan kemenangan 3-0 dengan menundukkan Sabrina Sobhy 11-4, 6-11, 12-10, 11-6 dalam masa 31 minit.

Ia kemenangan keempat berturut-turut pasukan negara yang mengumpul lapan mata penuh dalam kumpulan itu selepas menundukkan Mexico, Kanada dan Guatemala juga dengan keputusan 3-0 sebelum ini.

Juara bertahan Mesir yang juga pilihan utama menentang pilihan ketujuh Australia pada suku akhir hari ini manakala pilihan kedua England bertemu Ireland. Satu lagi pertembungan suku akhir menyaksikan Hong Kong menentang AS.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 5 Disember 2014 @ 7:47 AM