Mohd Ruzaini Zulkepli


Kota Kinabalu: Polis Sabah kini menjalankan siasatan daripada pelbagai sudut bagi mengenal pasti motif nelayan warga Indonesia cedera terkena tembakan di perairan Filipina, Rabu lalu.

Siasatan akan menjurus kepada sama ada kejadian itu berkait rapat dengan kes rompakan atau penculikan.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Sabah, Datuk Salehhudin Abdul Rahman, berkata pihaknya masih menyiasat mengenai perkara itu dan meminta orang ramai mempunyai sebarang maklumat segera tampil.

“Berdasarkan maklumat awal yang kita terima, mangsa, 51, bersama rakannya berusia 37 tahun ketika kejadian dikatakan sedang menjalankan aktiviti memukat ikan di perairan berkenaan.

"Bagaimanapun, kira-kira 11 malam, bot tunda dinaiki mereka dipintas bot lain dipercayai dinaiki empat individu.

“Seorang daripada suspek bertindak melepas tembakan sehingga terkena tubuh dan pergelangan tangan kanan mangsa," katanya dalam sidang media di pejabatnya, hari ini.

Menurutnya, mangsa yang parah akibat terkena tembakan itu kemudiannya dikejarkan ke Hospital Duchess of Kent Sandakan dan kini dilaporkan dalam keadaan stabil.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 15 Oktober 2016 @ 5:02 PM