Shah Alam: Saksi dua remaja yang mendakwa dibelasah bekas pegawai polis bergelar Datuk dalam kejadian di Seksyen 8 di sini, Jumaat lalu, diminta tampil membantu siasatan.

Ketua Polis Daerah Shah Alam Asisten Komisioner Shafien Mamat berkata, pihaknya menerima laporan mengatakan bekas pegawai polis itu melepaskan tembakan ke udara, namun sehingga kini tiada saksi tampil memberi maklumat.

Beliau berkata, seramai 11 saksi sudah diambil keterangan untuk membantu siasatan.

Katanya, polis juga sudah mengambil pistol milik bekas pegawai polis berkenaan bersama peluru sebelum dihantar ke makmal forensik untuk siasatan lanjut.

“Siasatan di lokasi kejadian juga tidak menemui sebarang kelongsong peluru,” katanya pada sidang media di pejabatnya di sini, semalam.

Akhbar ini semalam melaporkan kejadian dua remaja mendakwa dibelasah bekas pegawai polis itu.

Dalam kejadian itu, Datuk terbabit dipercayai mengacukan senjata api kepada mereka selain melepaskan tembakan ke udara.

Dapatkan akhbar Harian Metro untuk berita selanjutnya

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 18 Ogos 2015 @ 9:12 AM