Kuala Lumpur: Dua puluh tiga pemain bawah 19 tahun (B-19) terpilih untuk menyertai kem latihan pusat di Majlis Sukan Negara (MSN) bagi persediaan menghadapi kempen Kejuaraan B-19 Persekutuan Bola Sepak Asean (AFF) 2015 di Vientiane, Laos pada 22 Ogos hingga 4 September ini.

Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) dalam kenyataan media berkata, 21 daripada 23 pemain di bawah seliaan ketua jurulatih skuad B-19 negara, Hassan Sazali Mohd Waras itu adalah daripada 30 pemain skuad Harimau Muda C dan dua lagi pemain Kelab Frenz United.

Dalam Kejuaraan B-19 AFF itu, Malaysia diundi dalam Kumpulan B bersama Vietnam, Myanmar, Singapura dan Timor Leste, manakala Kumpulan A pula terdiri daripada Thailand, Australia, Kemboja, Brunei, Filipina dan Laos.

Malaysia akan memulakan saingan kejohanan itu bertemu Timor Leste pada 23 Ogos, Singapura (25 Ogos), Vietnam (27 Ogos) dan Myanmar (29 Ogos) sebelum mara ke separuh akhir pada 2 September dan akhir pada 4 September.

Sementara itu, 20 pemain skuad bawah 14 tahun (B-14) di bawah kendalian jurulatih Richard Nelson Scully dijadual akan bertolak ke Brunei esok untuk menyertai Festival Bola Sepak Serantau Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) B-14 2015 di Bandar Seri Begawan, Brunei dari 18 hingga 23 Ogos.

Malaysia berada dalam kumpulan A bersama pasukan Brunei, Timor Leste, Filipina dan Myanmar manakala kumpulan B adalah Laos, Vietnam, Singapura dan Thailand.

Untuk perlawanan pertama, Malaysia akan bertemu Timor Leste pada 19 Ogos dan diikuti dua perlawanan pada 21 Ogos menentang Myanmar dan Brunei.

Melengkapkan jadual perlawanan, skuad B-14 negara akan bertemu Filipina pada 22 Ogos.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 15 Ogos 2015 @ 5:06 AM