SKUAD Bawah 23 tahun negara. FOTO FAM
SKUAD Bawah 23 tahun negara. FOTO FAM
Syazwan Msar


Kuala Lumpur: Pengendali skuad Bawah 23 tahun (B-23) negara, Brad Maloney belum lagi memikirkan sasaran pada saingan Piala Persekutuan Bola Sepak Asean 2022 (AFF) Bawah-23 Tahun (B-23) di Kemboja, Februari depan.

Ini kerana, pengendali dari Australia itu mahu terlebih dahulu 'mengkaji' kekuatan pasukan lain yang sudah tentu tampil lebih hebat berbanding sebelum ini.

Beliau berkata, ketika ini, fokus utama adalah mahu membuat persiapan rapi dengan memanggil barisan pemain lebih awal bagi memastikan mereka dapat membentuk persafahaman yang baik selain perbaiki lagi kelemahan di beberapa posisi.

"Berdasarkan kepada pertemuan sebelum ini di kejohanan AFC bawah 19 tahun pada 2019, sudah tentu pasukan seperti Myanmar, Indonesia dan Laos bukanlah lawan yang mudah.

"Saya tidak mahu meletakkan sebarang sasaran pada masa ini namun lebih kepada memastikan pasukan negara mampu mencipta keputusan positif kelak.

"Pada masa sama, persediaan rapi akan dilakukan dengan memanggil pemain untuk menjalani latihan pada awal Januari depan," katanya.

Terdahulu, Arena Metro melaporan pasukan bola sepak negara berpeluang membalas dendam terhadap Indonesia apabila skuad B-23 negara diundi bersama Sang Garuda dalam saingan Kumpulan B pada Kejuaraan B-23 AFF 2020.

Menerusi majlis undian yang berlangsung secara dalam talian itu, Indonesia yang juga juara bertahan dan Malaysia akan disertai Myanmar dan Laos dalam Kumpulan B.

Kumpulan A pula menampilkan Kemboja, Timor Leste, Filipina dan Brunei sementara saingan sengit akan disaksikan dalam Kumpulan C menerusi penyertaan naib juara 2019, Thailand, Vietnam dan Singapura.

Hanya tiga juara kumpulan dan satu naib juara kumpulan terbaik akan mengesahkan tiket ke separuh akhir.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 30 Disember 2021 @ 1:26 PM