Assalamualaikum, salam sejahtera dan salam 1Malaysia kepada seluruh peminat bola sepak tempatan yang tidak putus memberikan sokongan padu kepada sukan utama negara ini.

Semalam, kita sudah menyaksikan skuad bawah 23 (B-23) negara menentang Timor Leste dalam aksi pembukaan Kumpulan B di Stadium Bishun Singapura dalam misi merampas kembali pingat emas Sukan SEA.

Tentu semua masih ingat kejayaan pertama skuad kendalian Datuk K Rajagobal memenangi emas Sukan SEA 2009 di Laos dan Datuk Ong Kim Swee berjaya mempertahankan pingat berkenaan di Sukan SEA 2011 Jakarta.

Lebih membanggakan, Malaysia muncul juara dengan bergaya di gelanggang lawan biarpun diasak hebat pasukan tuan rumah seperti Laos dan Indonesia walaupun ketika itu, skuad muda negara bukanlah pasukan pilihan.

Malah, saya juga memuji Kim Swee di atas kejayaan layak ke separuh akhir Sukan SEA 2013 Myanmar yang mana saya percaya skuad muda negara memiliki prestasi konsisten dan tahun ini, saya yakin skrip lama akan berulang jika mereka mampu menepati perancangan dan strategi.

Secara jujur, dalam mana-mana perlawanan sekalipun, kalah dan menang sudah menjadi adat perlawanan.

Pada pendapat saya, erti kemenangan sebenar adalah cara kita berjuang untuk kejayaan dan saya masih ingat lagi kejayaan mempertahankan emas Sukan SEA 2011 Jakarta yang mana ketika itu saya memegang jawatan pengurus skuad Harimau Muda A.

Bola sepak adalah satu permainan selama 90 minit yang menentukan pemenang tetapi bagi saya, ia lebih dari segala-galanya dan kita harus berkerja sebagai satu pasukan untuk mencapai matlamat berdasarkan arahan dan strategi jurulatih.

Ketika itu, saya bersama Kim Swee sentiasa memberikan motivasi kepada pemain dan seperti saya katakan sebelum ini, bukan senang untuk mana-mana pasukan mencapai kemenangan dalam bola sepak.

Ini kerana bola sepak memerlukan kerjasama, sentiasa mempercayai satu sama lain, komitmen tinggi, mematuhi arahan jurulatih dan sentiasa bergerak dalam satu pasukan.

Tahun ini, saya kekal optimis bahawa skuad Kim Swee mampu mengulangi kejayaan cemerlang seperti edisi 2009 dan 2011 meskipun diundi bersama Brunei, Timor Leste, Vietnam dan dua pasukan pilihan, Thailand serta Vietnam.

Saya percaya kekuatan semua pasukan muda Asean adalah setara dan tiada istilah kumpulan maut selepas menyaksikan kejayaan kita pada masa lalu.

Justeru, saya berharap pasukan Kim Swee kekal fokus dan tidak terlalu ghairah dalam misi merampas kembali pingat emas biarpun sasaran utama adalah menjadi juara bola sepak Asean.

Akhir kata, saya berharap penyokong kita dapat hadir ke Singapura bagi memberikan sokongan padu kepada skuad negara yang mana sokongan adalah tunjang utama dalam mana-mana pasukan.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 31 Mei 2015 @ 5:10 AM