Jakarta: Gagal mempamerkan aksi sebenar menjadi punca kekalahan beregu wanita negara Amelia Alicia Anscelly-Soong Fie Cho pada saingan suku akhir Kejohanan Dunia semalam.

Dalam tempoh 38 minit, gandingan negara yang tidak diberi harapan tinggi itu, tewas 11-21, 11-21 kepada beregu tuan rumah yang juga pilihan ketujuh kejohanan, Nitya Krishinda Maheswari-Greysia Polii.

“Saya rasa kami tidak mempamerkan corak permainan sebenar sedangkan lawan bermain dengan sangat bagus.

“Banyak yang kami pelajari pada perlawanan ini sebab inilah kali pertama kami bertemu dengan mereka.

“Jika kami dapat bertemu mereka lagi, kami akan cuba meraih lebih banyak mata atau mungkin tewaskan mereka,” kata Amelia.

Jelasnya lagi, dia berharap gandingan bersama Fie Cho dapat dikekalkan bagi membolehkan mereka berdua meraih keputusan lebih baik selepas ini.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 15 Ogos 2015 @ 5:01 AM