Oleh Hajahfarhana Tarmudi


Setiap orang memiliki hobi berbeza. Lazimnya, ia gemar dilakukan pada waktu lapang dan ada sesetengah individu menjadikannya sebagai terapi kepada keletihan serta tekanan akibat kerja yang banyak di pejabat.

Tentu indah jika dapat melakukan aktiviti digemari apatah lagi jika kehadirannya dapat membantu melancarkan perniagaan sambilan yang dilakukan pada hujung minggu.

Mohd Rossi Mam Yudi, 32, yang bertugas sebagai pengatur cara kanan aplikasi Java di syarikat teknologi maklumat di Kuala Lumpur ini mempunyai hobi mengumpul barangan antik.

"Saya mula aktif mengumpul koleksi barangan antik sejak dua tahun lalu. Bagi saya, hobi ini mempunyai banyak faedah pada diri dan juga perniagaan sambilan yang dijalankan.

"Apabila kita sudah berada dalam situasi ekonomi yang kukuh, tidak menjadi masalah melakukan hobi digemari apatah lagi jika ia sudah lama dipendam sejak zaman remaja.

"Justeru, selepas memiliki kerja sendiri dan berkemampuan membeli barangan diminati, saya tidak mahu lepaskan peluang ini bagi memenuhi hasrat yang dipendam selama ini," katanya.

Ujarnya, dia begitu meminati barangan antik kerana kualiti yang baik dan kerja tangan teliti dapat dilihat pada setiap pembuatan sama ada barangan atau dekorasi rumah.

Kebanyakan koleksi antik yang dibeli itu disimpan atau dijadikan hiasan rumah. Lebih menarik, ada sesetengah koleksi yang dikumpul mempunyai sejarah atau kisah tersendiri.

Antara koleksi yang memiliki kisah nostalgia kepada dirinya ialah basikal lama milih arwah datuknya yang dibawa dari Ulu Yam, Selangor untuk diabadikan sebagai barangan paling disayangi.

Bukan itu saja, Mohd Rossi juga tidak keberatan untuk menyewakan koleksi yang dikumpul seperti basikal tua, mesin taip, almari perhiasan jenis kayu dan tempayan lama kepada individu berminat.

Pada masa sama, dia juga meminati cabaran dan kreativiti sebagai jurugambar perkahwinan. Menjadikan hobi mengumpul barangan antik lebih menarik apabila koleksi berkenaan juga banyak membantu sebagai peralatan latar dalam setiap rakaman gambar.

Dia mula bergerak sebagai jurugambar sambilan secara serius sejak empat tahun lalu. Idea dan minat menjadi jurugambar tercetus selepas majlis resepsi sendiri selesai.

Tambahnya, dia begitu berminat menjadi jurugambar perkahwinan selepas melihat hasil gambar yang menarik pada maj­lis respesi sendiri dan mendapati ia boleh dijadikan sebagai penambah pendapatan apatah lagi selepas membina keluarga sendiri.

"Walaupun bekerja dalam bidang teknologi maklumat, saya perlu melakukan aktiviti berlainan kerana ia mampu memberi imbangan kepada kedua-dua bahagian otak iaitu kanan untuk perkara kreatif manakala kiri lebih kepada perkara logik.

"Saya juga suka berjumpa dengan individu berlainan kerana banyak pengalaman baru yang akan diperoleh," katanya.

Tambahnya, aktiviti diminati itu juga mempunyai cabaran tersendiri antaranya masa kerana kita hanya ada 24 jam sehari untuk melakukan semua perkara penting.

Lapan jam berada di pejabat, dua jam untuk keluarga dan dua hingga tiga jam seterusnya pula diperuntukkan untuk melakukan hobi yang diminati itu.

Hobi itu termasuklah mencari koleksi yang menarik, mencipta album perkahwinan, menyunting gambar, pemasaran, mengemas kini Facebook (http://fb.com/4by6pictures) dan mempelajari teknik baru rakaman gambar.

Kerjaya, hobi dan keluarga

"Saya perlu mengasingkan duit gaji yang diterima setiap bulan dengan pengeluaran kos untuk memuaskan hati dengan hobi ini. Ia sepatutnya tidak boleh dicampur aduk dalam akaun sama.

"Lazimnya, saya mengeluarkan duit yang diperuntukkan untuk hobi bagi meraikan sesuatu sambutan atau membeli peralatan baru yang berkaitan dengan minat," katanya.

Tambahnya, pada masa sama dia perlu mengekalkan sikap profesional dan tumpuan pada tugasan di pejabat tanpa terbawa-bawa minatnya itu bagi memastikan semua kerja dilakukan dengan sempurna.

Disebabkan dirinya masih memperoleh pendapatan daripada kerjaya yang disandang sekarang, dia beranggapan perlu untuk dirinya meninggalkan seketika urusan hobinya buat seketika.

Selain itu, dia juga sering menetapkan masa terluang dengan perkara peribadi ketika bercuti dan memastikan masa yang ada tidak hanya digunakan sepenuhnya untuk melakukan hobi saja.

"Memiliki masa terluang dan rehat ketika hujung minggu dapat mengembalikan semula tenaga untuk hari bekerja. Malah, masa yang ada itu juga lebih bermanfaat dihabiskan bersama keluarga dan insan tersayang walaupun kita mempunyai hobi," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 7 November 2014 @ 5:00 AM