GUBUK Antik boleh menjadi lokasi menarik untuk sebarang acara dan juga kandungan di media sosial.
GUBUK Antik boleh menjadi lokasi menarik untuk sebarang acara dan juga kandungan di media sosial.
Nurul Husna Mahmud


Satu pengalaman yang menggamit kenangan apabila kunjungan ke Gubuk Antik iaitu rumah warisan Zainab Zainuddin dan pasangannya Abdul Hakim Jaapar yang terletak di Kampung Sungai Tengar Selatan, Ayer Tawar Sabak Bernam, Selangor menampilkan gimik 'kenduri kahwin.'

Dari persembahan kumpulan pemuzik tradisional tempatan sehinggalah silat, sementara tetamu pula mengenakan busana tradisi suasana nyata begitu meriah.

Kemeriahan itu membangkitkan suasana keraian yang begitu lama dirindui dan menjadi sebahagian budaya masyarakat Melayu satu ketika dahulu.

Gubuk Antik ialah tarikan terbaru di Sabak Bernam iaitu daerah paling utara di Selangor yang memberi pengalaman kepada pengunjung untuk merasai cara hidup masyarakat kampung dulu-dulu.

Lokasi ini bukan sahaja mendedahkan generasi baru mengenai kehidupan dalam rumah Melayu tradisional Perak ketika era 80-an hingga 90-an, tetapi juga membawa mereka kembali ke zaman itu.

Tidak hairanlah rombongan Ziarah Kasih Ziarah kasih PEKAWANIS bersama Tengku Permaisuri Selangor, Tengku Permaisuri Norashikin turut menyenaraikan lokasi terbabit dalam siri jelajah kali ini.

Menurut Zainab, dia dan suami yang juga peminat tegar barangan antik termasuklah kenderaan tidak menyangka hobi 'mahal' itu boleh memberi peluang termasuklah menjana pendapatan menerusi produk pelancongan.

"Rumah tradisional yang diwarisi suami dari ibunya, Lamah Noor.

"Apabila suami bersara dan saya pula begitu meminati barangan lama atau antik ambil keputusan untuk kembali ke kampung dan menjadikan lokasi ini sebagai galeri peribadi.

"Sebelum ini hanya untuk diri sendiri tetapi apabila rakan dan peminat barangan antik mahu lihat secara dekat koleksi barangan, saya kembangkan kepada khidmat inap desa," katanya.

Kata Zainab, rumah itu yang dianggarkan berusia 100 tahun masih mengekalkan lebih 80 peratus struktur asal dipenuhi pelbagai barangan antik koleksi peribadi pasangan.

"Koleksi paling 'berusia' ialah garmofon atau mesin jahit lama dipercayai digunakan pada tahun 1920-an atau 1930-an.

"Ia masih berfungsi dengan baik dan itu membuatkan barangan antik yang ada di sini sangat berharga.

"Malah masih ada katil besi krom atau tembaga yang jarang dilihat generasi sekarang," katanya.

Semua barangan ini dijaga rapi pasangan itu begitu juga pinggan mangkuk lama yang masih digunakan untuk menghidangkan makanan kepada pengunjung.

"Gubuk Antik tidak hanya untuk orang datang dan lihat barangan lama semata-mata sebaliknya saya serta suami turut menawarkan pengalaman cara hidup kampung yang masih tradisional apabila mereka menginap atau adakan acara di sini.

"Contohnya untuk rombongan Tengku Permaisuri yang hadir dalam siri Jelajah di Daerah Sabak Bernam kali ini, saya kembalikan semula suasana kenduri di era 80-an atau 90-an yang menyajikan sajian kampung masyarakat Jawa dan 'jajan' era itu.

"Ais krim Malaysia dan snek atau makanan ringan disajikan untuk kembalikan nostalgia itu. Saya gunakan pinggan lama seperti pinggan motif bunga kangkung untuk Tengku Permaisuri," katanya.

Malah dia juga gembira Tengku Permaisuri sanggup mencemar duli dan berkenan menikmati santapan disediakan olehnya bersama orang kampung.

Melihat jumlah bilangan koleksi Zainab tidak terhitung banyaknya, penulis dapat gambarkan komitmen dan kegigihan wanita berusia 60-an itu menjaga setiap barangan antik yang ada.

"Saya tidak nafikan memiliki ratusan barangan antik perlu rajin kerana setiap daripada barangan itu perlu dilap setiap hari supaya tidak dikotori habuk.

"Ketika mengendalikan barang itu perlu hati-hati kerana usianya terlalu lama membuatkan ia mudah rapuh.

"Jika salah satunya sudah rosak atau pecah, hendak dapatkan semula barangan yang sama cukup sukar. Mujurlah saya ada rangkaian kenalan dalam jualan barangan antik, peluang cerah walaupun sukar," katanya.

Mengenai kepuasan Zainab dalam memiliki koleksi barangan di kediaman itu, dia gembira dapat berkongsi dengan orang luar.

"Rasa puas apabila pengunjung bawa keluarga terutama anak-anak untuk melihat suasana kehidupan mereka suatu ketika dahulu," katanya.

Di sebalik kegigihan menghidupkan galeri antik itu, Zainab mengakui mengumpul barangan antik itu juga adalah terapi buat dirinya.

"Sebenarnya apa saya lakukan sehingga hari ini dengan mengumpul barangan antik adalah terapi untuk diri sendiri.

"Saya adalah pesakit kanser dan didiagnos pada tahun sekitar tahun 2011. Saya jalani rawatan sehingga 2014 mencari hobi dapat membantu saya tangani penyakit ini.

"Alhamdulillah saya berjaya harungi fasa sangat mencabar dalam hidup dan mengisi waktu sukar dengan melakukan hobi mengumpul barangan antik.

"Saya bersyukur suami dan tiga anak sangat memahami selain membantu dalam mencari barangan antik yang saya inginkan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 2 Mei 2024 @ 7:01 AM