Dhaka: Tribunal jenayah perang di Bangladesh semalam menjatuhi hukuman mati terhadap seorang lelaki dan seorang lagi dihukum penjara seumur hidup yang didapati bersalah bersekongkol dengan Pakistan untuk melakukan pembunuhan beramai-ramai serta jenayah lain ketika perang menuntut kemerdekaan pada 1971.

Ketua panel tiga hakim, M Enayetur Rahim, menjatuhkan hukuman mati terhadap Sheikh Sirajul Islam dan penjara seumur hidup terhadap Khan Akram Hossain di mahkamah di Dhaka.

Mereka dituduh melakukan jenayah, termasuk membunuh sehingga 700 orang awam di daerah Bagerhat, barat daya negara itu.

Mereka juga didapati bersalah membunuh 50 penduduk beragama Hindu di sebuah kampung dalam kejadian berasingan.

Bangladesh mendakwa askar Pakistan yang dibantu penduduk tempatan membunuh tiga juta orang dan merogol 200,000 wanita ketika perang selama sembilan bulan yang berakhir pada Disember 1971.

Perdana Menteri Bangladesh, Sheikh Hasina menubuhkan tribunal itu pada 2010 bagi menghukum penduduk tempatan yang didakwa bersubahat dengan askar Pakistan itu.

Sekurang-kurangnya 17 orang, kebanyakannya dari parti pembangkang Jamaat-e-Islami sudah dijatuhi hukuman mati dan penjara seumur hidup.

Jamaat-e-Islami adalah sekutu utama parti pembangkang terbesar negara itu - Parti Nasionalis Bangladesh yang diketuai bekas Perdana Menteri, Khaleda Zia - seteru utama Hasina.

Jamaat-e-Islami berkempen secara terbuka menentang kemerdekaan Bangladesh pada 1971 dan membentuk militia sendiri untuk menghalang negara itu berpisah dari Pakistan. - AP

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 12 Ogos 2015 @ 7:25 AM