Mesej di WeChat didakwa antara Fizz dengan seorang wanita.
Mesej di WeChat didakwa antara Fizz dengan seorang wanita.
Oleh Wahi Aziz


Kuala Lumpur: Pelakon Fizz Fairuz, 36, menafikan dia cuba memikat wanita lain dengan menghantar mesej berbaur seksual menerusi aplikasi WeChat yang tersebar di Internet, hari ini.

Fizz atau nama sebenarnya Mohd Fairuz Zainal Abidin, 36, berkata, tuduhan disebarkan wanita menggunakan nama Fara Mendoza di aplikasi WeChat itu adalah tidak berasas selain menyifatkannya perkara mengarut paling pelik pernah dihadapinya.

"Saya tidak pernah kenal siapa wanita itu. Apa dia mahu dan tujuannya di sebalik tuduhan hanya berdasarkan paparan gambar entah apa-apa yang tidak tahu pun kesahihannya.

"Saya malas nak layan benda mengarut begini. Kenal pun tidak, jadi mana datangnya cerita saya cuba memikatnya?" katanya kepada Harian Metro, hari ini.

Kekecohan tercetus apabila paparan WeChat wanita terbabit tersebar yang mendakwa Fizz cuba memikatnya.

Antara kandungannya, pujian mengenai bentuk tubuh wanita terbabit.

Sementara itu, isteri Fizz yang juga pelakon, Almy Nadia berkata, dia ketawa apabila mengetahui mengenai perkara itu.

Katanya, dia berharap orang ramai tidak terus membuat kesimpulan kerana kepesatan dunia teknologi ketika ini boleh digunakan untuk menjatuhkan maruah seseorang individu dengan mudah.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 11 Ogos 2015 @ 7:32 PM