MAJLIS pengisytiharan 112 butiran sebagai Warisan Kebangsaan. FOTO Meor Riduwan Meor Ahmad
MAJLIS pengisytiharan 112 butiran sebagai Warisan Kebangsaan. FOTO Meor Riduwan Meor Ahmad
Oleh Meor Riduwan Meor Ahmad


Kuala Lumpur: Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan mengisytiharkan 112 butiran sebagai Warisan Kebangsaan, hari ini.

Majlis bersejarah itu disempurnakan oleh Menterinya, Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz di Auditorium Jabatan Muzium Negara, di sini.

Butiran warisan itu meliputi sembilan tapak warisan termasuk bangunan masjid, 98 objek iaitu objek ketara dan tidak ketara seperti syiling lama dan Pantun Melayu serta lima tokoh orang hidup..

Menurut Mohamed Nazri, pengisytiharan itu adalah pengiktirafan tertinggi negara terhadap tapak dan objek yang diangkat sebagai Warisan Kebangsaan termasuk orang hidup yang penting dalam pensejarahan negara.

Selaras pelaksanaan Seksyen 67 Akta Warisan Kebangsaan 2005 ia memberi peruntukan kepada menteri untuk mengisytiharkan status berkenaan.

"Pewartaan mana-mana tapak warisan bukan bermakna (kerajaan) ambil milikan.Yang diwartakan warisan kekal dalam milikan pemunya malah masih boleh dipindah milik dan sebagainya sertatidak menjejaskan nilai komersialnya," katanya dalam ucapan perasmian.

Turut hadir Menteri Besar Selangor, Mohamed Azmin Ali; Timbalan Menteri Pelancongan dan Kebudayaan, Datuk Mas Ermieyati Samsuddin; Ketua Setiausaha Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan, Tan Sri Dr Ong Hong Peng dan Pesuruhjaya Warisan Kebangsaan, Dr Zainah Ibrahim.

Mohamed Nazri berkata, sehubungan itu penjagaan dan pemuliharaan tapak warisan amat penting kerana ia tidak dapat diganti.

"Pemuliharaan tapak warisan secara kreatif dapat menjana pendapatan pemiliknya melalui pelancongan," katanya.

Beliau turut menandatangani surat watikah senarai Warisan Kebangsaan dan perletakkan plak di bangunan Muzium Negara.

Orang ramai boleh menyaksikan pameran butiran Warisan Kebangsaan ini yang diadakan mulai hari ini hingga hujung bulan ini.

Sejak Jabatan Warisan Negara ditubuhkan pada 2006 sebanyak 496 butiran sudah diangkat sebagai warisan kebangsaan kini.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 11 Ogos 2015 @ 2:01 PM