MOHAMED Nazri (tiga kanan) menerima cenderahati daripada Presiden Tiong Hua Johor Bahru, Datuk Sri Tey Kim Chai (tiga kiri) dan diperhatikan Tee (kanan). FOTO Mohd Azren Jamaludin
MOHAMED Nazri (tiga kanan) menerima cenderahati daripada Presiden Tiong Hua Johor Bahru, Datuk Sri Tey Kim Chai (tiga kiri) dan diperhatikan Tee (kanan). FOTO Mohd Azren Jamaludin
Oleh Mary Victoria Dass


Johor Bahru: Kementerian Pelancongan berjanji untuk memperkenalkan perarakan Chingay sebagai suatu aktiviti warisan budaya dunia kepada Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa Bersatu (UNESCO).

Menteri Pelancongan dan Kebudayaan, Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz berkata, pihaknya akan mengarahkan Jabatan Warisan untuk bekerjasama bagi memperkenalkan perarakan Chingay kepada UNESCO.

Beliau berkata, semua pihak seharusnya sedar dan memahami kepentingan bagi mengekalkan budaya dan warisan masyarakat majmuk.

Menurutnya, perarakan berkenaan turut disertakan sebagai aktiviti tahunan dalam kalendar pelancongan negara ini mulai tahun ini.

"Integrasi pelbagai warisan budaya di negara ini menunjukkan semangat toleransi di kalangan masyarakat dan mendukung konsep 1Malaysia," katanya yang hadir menyempurnakan perarakan Chingay di Jalan Wong Ah Fook di di sini, hari ini.

Perarakan Chingay menjadi antara lima aktiviti utama dalam kalendar pelancongan negeri ini.

Ribuan pengunjung membanjiri Jalan Wong Ah Fook selain sekitar pusat bandar raya bagi menyaksikan perarakan berkenaan serta persembahan kebudayaan masyarakat Tionghua selain tarian singa.

Hadir sama, Pengerusi jawatankuasa pelancongan, perdagangan dan kepenggunaan Negeri Johor, Datuk Tee Siew Kiong.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 11 Mac 2015 @ 10:23 PM