MENARA Condong Teluk lntan diisytiharkan sebagai Warisan Kebangsaan. FOTO Abu Bakar Sidek
MENARA Condong Teluk lntan diisytiharkan sebagai Warisan Kebangsaan. FOTO Abu Bakar Sidek
Oleh Mohd Hafizee Mohd Arop

Teluk Intan: Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin sebentar tadi mengisytiharkan Menara Condong Teluk Intan yang berusia 130 tahun sebagai Warisan Kebangsaan.

Berucap pada Majlis Rumah Terbuka Malaysia Tahun Baru Cina 2015 yang diadakan di Dataran Menara Condong di sini, Muhyiddin berkata, keunikan menara itu amat ketara dengan konsep 'Pagoda' dan seharusnya menerima pengiktirafan itu.

Katanya, konsep yang terdapat pada gerbang, bumbung genting dan hiasan jubinnya itu jelas menunjukkan pengaruh kekayaan budaya dan seni bina Cina.

Menurutnya, sejarah bangunan itu juga amatlah unik di mana bangunan itu dijadikan tangki air pada waktu kemarau dan juga mempunyai kemudahan memadam api pada zaman dahulu.

"Menara Condong ini juga menjadi satu daripada tarikan kepada pelancong yang berkunjung di Perak seperti mana juga 'The Leaning Tower of Pisa' yang menjadi tarikan pelancong di Itali.

"Tahniah saya ucapkan kepada Jabatan Warisan Negara iaitu agensi di bawah Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan dan kerajaan negeri khususnya Majlis Perbandaran Teluk Intan (MPTI) yang berjaya mendapat pengiktirafan ini," katanya.

Hadir sama Menteri Pelancongan dan Kebudayaan, Datuk Seri Mohamad Nazri Abdul Aziz, Menteri Pengangkutan Datuk Seri Liow Tiong Lai, Menteri di Jabatan Perdana Menteri yang juga Ahli Parlimen Teluk Intan Datuk Mah Siew Keong serta Menteri Besar Perak, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir.

Muhyiddin berkata, kerajaan juga dalam proses untuk mendapatkan pengiktirafan di peringkat antarabangsa bagi menjadikan Menara Condong Teluk Intan itu sebagai satu daripada Tapak Warisan Dunia UNESCO.

"Usaha mengekalkan dan memelihara warisan dan budaya adalah tanggungjawab kita bersama dan diharap pengiktirafan ini dapat mempromosi Teluk Intan sebagai pusat tarikan pelancong dalam dan luar negara di masa akan datang," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 28 Februari 2015 @ 10:21 PM