Siti Rohana Idris


Tumpat: Laman Warisan Kampung Laut dan Masjid Kampung Laut berpotensi untuk dicalonkan sebagai Tapak Warisan Kebangsaan serta Objek Warisan kerana keunikan tersendiri.

Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Seri Nancy Shukri berkata, kedua-duanya mampu diiktiraf sebagai Tapak Warisan Dunia di bawah Pertubuhan Pendidikan Kebudayaan dan Saintifik Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO) kerana memenuhi kriteria pencalonan.

"Saya menyokong penuh perancangan untuk pencalonan Laman Warisan Kampung Laut sebagai Tapak Warisan Kebangsaan dan Masjid Kampung Laut sebagai Objek Warisan kerana ia berpotensi besar untuk diiktiraf sebagai Tapak Warisan Dunia di bawah UNESCO.

"Dua projek ini memenuhi kriteria pencalonan iaitu lokasi tradisi budaya yang unik dan juga contoh seni bina luar biasa," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media di majlis penyerahan projek pembangunan semula Kampung Laut sebagai Kampung Pelancongan Warisan (pakej 1: Laman Warisan Serunding), di sini, hari ini.

Turut hadir ialah Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi), Datuk Seri Mustapa Mohamed; Ketua Pegawai Eksekutif Pembangunan Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECERDC), Baidzawi Che Mat dan Menteri Besar Kelantan, Datuk Ahmad Yakob.

Nancy berkata, Kelantan penuh dengan budaya dan warisan yang unik serta perlu dipelihara sekali gus diketengahkan ke persada antarabangsa.

Nancy.
Nancy.

Beliau berkata, pembangunan semula Kampung Laut dan kembalinya Masjid Kampung Laut adalah bertepatan dengan pendekatan baharu Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (Motac) di mana seni dan budaya diberi keutamaan sebagai elemen utama produk pelancongan.

"Elemen itu adalah penting dalam usaha untuk mempromosi Malaysia, selaras dengan Dasar Kebudayaan Negara (DAKEN) 2021 yang baru sahaja dilancarkan pada 26 Oktober lalu," katanya.

Sementara itu Ahmad berkata, Laman Warisan Serunding yang bakal menempatkan 11 pengusaha itu dijangka dapat menarik lebih ramai pengunjung kerana Pakej 2 projek pembangunan semula Kampung Laut bakal menyusul.

"Pakej 2 projek Pembangunan Semula Kampung Laut yang dijangka siap awal tahun depan terdiri daripada Laman Warisan Seni Kampung Laut yang akan memberi peluang kepada usahawan tempatan untuk mempamer serta menjual hasil seni dan kraf tangan mereka.

"Kita harapkan masyarakat setempat dapat beri kerjasama baik dalam usaha menyambut kedatangan pelancong kerana selain untuk industri pelancongan, penduduk sekitar juga akan dapat manfaat," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 31 Oktober 2021 @ 4:04 PM