Oleh Ferzalfie Fauzi


Kuala Lumpur: Pelumba Kurnia Amasurrance Racing, Josh Hunt berada di kedudukan terbaik untuk muncul juara sulung trofi GT KL City apabila menduduki petak utama dalam sesi kelayakan Grand Prix (GP) KL City, semalam.

Hunt yang menggunakan jentera Mercedes SLS AMG GT3 mencatat masa satu minit 24.367 saat dalam perlumbaan kategori GT, manakala kedua terpantas Frank Yu (Craft Bamboo) dengan catatan masa 1:29.697s dan pelumba tempatan Andrian D'Silva (Nexus Infinity) ketiga terbaik 1:29.970s.

Seorang lagi pelumba tempatan, Fairuz Fauzy (OD Racing) mencatat masa keempat terpantas 1.31.431s namun dia dijangka tidak beraksi dalam perlumbaan hari ini kerana terbabit kemalangan pada sesi kelayakan semalam.

Sementara itu, pelumba Starspeed Racing, Afiq Ikhwan Mohamad Yazid mencatat masa terpantas bagi kategori GTM/GT4 dengan catatan 1:24.440s, mengenepikan Naoki Yokomizo (Direction Racing) yang merakam masa 1.27.070s dan ketiga terbaik Michael Choi (Arrows Racing) 1.33.524s.

Afiq masih mampu menjulang trofi GT KL City jika berjaya mengenepikan pelumba kategori GT3 dalam perlumbaan sebenar hari ini.

Bagi Hunt, menduduki petak utama adalah satu permulaan baik buat pasukannya hujung minggu ini selepas mereka bertungkus-lumus mempersiapkan jentera sejak sesi latihan bebas kelmarin dan pagi semalam.

“Selepas bekerja keras kami berjaya mempersiapkan jentera dengan baik sekali, saya mengucapkan ribuan tahniah kepada pasukan dan kami bersedia untuk beraksi dalam perlumbaan sebenar nanti.

“Bagaimanapun, saya mengakui selekoh 12 (lokasi kemalangan Fairuz) memang sangat bahaya dan sukar kerana ia menuruni bukit,” katanya.

Dalam pada itu Afiq mengaku gembira dengan pencapaiannya semalam terutama selepas mencatat masa terpantas untuk kategori GTM/GT4.

“Memang agak bergelut dalam sesi kelayakan semalam tetapi saya berjaya menghampiri masa catatan Josh (Hunt), jadi perlumbaan esok akan berlangsung sengit,” katanya yang juga beraksi dalam perlumbaan Lamborghini Super Trofeo semalam.

Perlumbaan merebut trofi KL City GT akan bermula jam 5 petang ini dengan pelumba bakal mengharungi 25 pusingan.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 9 Ogos 2015 @ 5:12 AM