AFIQ
AFIQ
Oleh Ferzalfie Fauzi

Kuala Lumpur: Sedia cipta sejarah! Pelumba Starspeed Racing, Afiq Ikhwan Mohamad Yazid berada di landasan terbaik untuk membolot tiga trofi menjelang perlumbaan Grand Prix KL (GPKL) apabila mencatat masa terpantas dalam sesi latihan bebas tiga kategori keseluruhan, GTM/GT4 dan Lamborghini Super Trofeo semalam.

Jika berjaya menjulang ketiga-tiga trofi berkenaan pada hari perlumbaan esok ia bakal menjadi hadiah paling bermakna buatnya yang akan menyambut ulang tahun ke-24 hari ini.

Semalam Afiq yang memandu Lamborghini LP620 menunjuk belang apabila mencatat satu minit 26.799 saat dalam sesi latihan bebas yang menggabungkan ketiga-tiga kategori berkenaan.

Bagi kategori keseluruhan untuk merebut Piala GT KL City Afiq berjaya mengenepikan pelumba Kurnia Amassurance Racing, Josh Hunt yang mencatat masa kedua terpantas 1:29.389s, manakala kedudukan ketiga terbaik diraih seorang lagi pemandu tempatan Andrian D'Silva dari Nexus Infinity (1:30.966s).

Kategori GTM/GT4 pula menyaksikan Anthony Liu/Davide Rizzo (China/Jepun) mencatat masa kedua terpantas 1:27.079s dan Yuan Bo/Edoardo Liberati (China/Itali) ketiga terpantas 1:27.297, kedua-dua pasangan berkenaan juga mencatat masa kedua serta ketiga terpantas untuk perlumbaan Lamborghini Super Trofeo.

Menurut Afiq, semuanya berjalan lancar buatnya termasuk persediaan jentera, walaupun kali pertama mencuba litar jalan raya itu semalam.

“Saya gembira kerana jentera berada dalam keadaan baik dan saya juga amat menyukai litar ini. Saya cuba untuk beraksi lebih baik untuk sesi kelayakan masa dan perlumbaan sebenar,” katanya yang juga pemandu pembangunan buat pasukan Lamborghini.

Pelumba kelahiran Kajang itu mengakui lebih menumpukan perhatian kepada perlumbaan Lamborghini Super Trofeo berbanding kategori keseluruhan dan GTM/GT4 kerana mahu mengulangi pencapaian di Shanghai bulan lalu apabila menduduki tempat ketiga (perlumbaan pertama) dan juara (perlumbaan kedua).

“Bagi aksi keseluruhan dan GTM/GT4 saya lebih fokus untuk mencari pengalaman apabila beraksi dengan beberapa pelumba berpengalaman. Bagaimanapun, bagi saya sesi kelayakan masa lebih penting berbanding latihan bebas,” katanya.

Ditanya mengenai beberapa insiden pelumba lain melanggar tembok keselamatan semalam, Afiq menjelaskan perkara itu biasa untuk perlumbaan jalan raya kerana rata-rata pasukan masih mencuba untuk mencari rentak serta pecutan maksimum di setiap selekoh.

Hari ini Afiq bakal bertungkus lumus untuk mencatat masa terbaik di sesi kelayakan masa kategori GTM/GT4 dan perlumbaan pertama Lamborghini Super Trofeo.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 8 Ogos 2015 @ 5:12 AM