Oleh Ferzalfie Fauzi


Kuala Lumpur: Selepas berdepan pelbagai masalah dan cabaran, bekas pelumba ujian Formula Satu, Fairuz Fauzy (gambar) mempamerkan pemanduan terpuji dalam perlumbaan merebut trofi KL City Cup apabila menduduki tempat kedua keseluruhan Grand Prix KL City semalam.

Pelumba OD Racing itu mencatat masa 40 minit 49.879 saat (24 pusingan) selepas membuat keputusan beraksi di saat akhir dalam kategori GTM/GT4 apabila jentera yang sepatutnya digunakan untuk kategori GT3 rosak teruk selepas mengalami kemalangan dalam sesi kelayakan masa kelmarin.

Pengeluar kereta dari Itali, Lamborghini mengambil keputusan meminjamkan jentera kepada Fairuz dan ia ternyata membawa tuah buat pelumba berusia 33 tahun itu apabila hanya ketinggalan 36.101s di belakang juara keseluruhan Naoki Yokomizo (Direction Racing).

Menurut Fairuz, dia adalah seorang pejuang dan memang mempunyai sikap mahu mencuba sehingga berjaya walaupun beberapa kali berdepan kegagalan.

“Saya mahu berlumba. Ia bukanlah sesuatu yang mudah kerana sebelum ini saya hanya memperoleh masa latihan sangat singkat kerana mengalami masalah kotak gear serta kemalangan

“Hari ini (semalam) saya bermula dari belakang dan mendengar sokongan penonton, memberi saya semangat serta motivasi. Trek ini sangat mudah untuk sesiapa saja melakukan kesilapan, ini adalah perlumbaan jalanan jadi tumpuan tinggi harus diberikan sehingga tiba ke garisan penamat,” katanya.

Kesabaran Fairuz diuji sejak hari pertama (latihan bebas) apabila jenteranya mengalami kerosakan kotak gear dan kelmarin dalam sesi kelayakan masa masa kerosakan sama turut berlaku sehingga menyebabkan dia mengalami kemalangan serta hampir menarik diri untuk bertarung pada perlumbaan semalam.

Tempat ketiga keseluruhan diraih Frank Yu (Craft Bamboo) yang mencatat masa 41:13.790s namun dia masih boleh berbangga dengan trofi juara untuk kategori GT3, walaupun hanya dua pelumba mengambil bahagian, di mana seorang lagi ialah pelumba tempatan, Andrian D’Silva (Nexus Infinity) dengan catatan masa 41:26.307s.

Yokomizo bukan saja berjaya menjulang trofi KL City GT (keseluruhan) tetapi turut mencul juara GTM/GT4, manakala tempat ketiga milik Micheal Choi (Arrows Racing) yang mencatat masa 41:15.089s.

“Saya gembira kerana berjaya muncul juara untuk perlumbaan ini dan keadaan jentera (Lamborghini LP620) berada dalam keadaan baik. Saya mahu mengucapkan terima kasih kepada pasukan dan penaja,” katanya dalam sidang media selepas perlumbaan tamat semalam.

Sementara itu, hasrat pelumba tempatan Afiq Ikhwan Mohamad Yazid untuk muncul juara perlumbaan 2 Lamborghini Super Trofeo tidak kesampaian apabila gagal menamatkan perlumbaan disebabkan terbabit dalam kemalangan pada pusingan pertama.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 10 Ogos 2015 @ 7:45 AM