Kuala Lumpur: Pelumba Jepun, Makoto Inagaki melakukan kejutan apabila berjaya merebut petak pertama buat pertama kali pada musim ini selepas mencatat masa terpantas pada sesi kelayakan kategori SuperSports 600cc Kejuaraan Motosikal Asia PETRONAS (ARRC) di Litar Antarabangsa Losail, Qatar, semalam.

Pelumba Akeno Speed Racing itu melakukan catatan terpantas 2:04.646s pada baki lima minit terakhir sesi kelayakan dengan mengatasi catatan rekod kelayakan 2:05.379s milik juara keseluruhan musim 2013, Azlan Shah Kamaruzaman.

Bakal memulakan perlumbaan di barisan hadapan bersama Inagaki Yuki Ito (PETRONAS Hong Leong Yamaha) dan Mohd Zamri Baba (Musashi Boon Siew Honda Racing), masing-masing dengan catatan terbaik 2:04.727s dan 2:04.743s.

“Saya tidak menjangkakan dapat mencatat masa terpantas. Selepas bergelut dengan pelbagai kesukaran sepanjang beberapa musim kebelakangan ini, akhirnya kami dapat melakukannya kali ini,” kata Inagaki.

Pelumba Malaysia, Mohd Zaqhwan Zaidi bakal memulakan perlumbaan dari petak keempat dengan masa 2:04.851s diikuti H A Yudhistira (Manual Tech KYT Kawasaki Racing), 2:04.958s dan pendahulu keseluruhan, Katsuaki Fujiwara (BEET Kawasaki Racing) keenam, 2:05.186s.

Dalam saingan Underbone 130c, Gupita Kresna Wardhana mencerahkan peluang untuk dinobat juara keseluruhan selepas mencatat masa terpantas sekali gus bakal memulakan perlumbaan dari petak pertama.

Pelumba Kawasaki KYT Rextor Manual Tech itu mencatat masa terpantas 2.31.713s mengatasi rakan senegara, Ferlando Herdian (Faito Factory Racing) yang mencatat masa 2.32.192s. Pendahulu hari pertama, Kazuki Masaki (Team Honda RSC) di petak ketiga dengan masa 2.33.097s.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 15 Disember 2014 @ 5:01 AM