Aditif makanan adalah bahan selamat dimakan yang ditambah secara sengaja ke dalam makanan dalam kuantiti sedikit tetapi tidak termasuk vitamin dan mineral.

Tujuan aditif makanan ditambah adalah untuk memanjangkan jangka hayat penyimpanan makanan, meningkatkan kualiti makanan dan persembahan (tekstur, warna, rupa, rasa dan konsistensi), menambah keenakan makanan dan memberi pilihan kepada pengguna.

Bahan tambahan ini seharusnya tidak dikelirukan dengan bahan pencemaran iaitu bahan yang tidak ditambah secara sengaja dalam makanan seperti logam berat, sisa racun perosak dan ubat veterinar.

Sesetengah orang percaya aditif makanan itu adalah bahan kimia, justeru penggunaannya harus diharamkan. Dalam konteks sains makanan, perkataan bahan kimia tidak mempunyai maksud kerana udara, air, gula dan garam juga adalah bahan kimia seperti aditif makanan. Perkara penting yang perlu diambil perhatian adalah kebanyakan aditif makanan yang digunakan boleh didapati secara semula jadi.

Contohnya, pektin yang digunakan untuk memekatkan jem diperoleh daripada tumbuhan, lesitin yang digunakan untuk menghalang pengasingan makanan diperoleh daripada kuning telur.

Aditif semula jadi yang lain termasuk karamel sebagai pewarna, vitamin C sebagai antipengoksida, agar-agar daripada rumpair laut sebagai penstabil. Salah faham mengenai aditif makanan membuat pengguna lebih tertumpu kepada mengelakkan aditif makanan lebih daripada mengamalkan diet seimbang.

Penggunaan aditif makanan menjadi amalan biasa sejak ratusan tahun dahulu di mana aditif makanan ditambah ke dalam makanan melalui pelbagai cara untuk membantu mengawet, menyedapkan, mencampur, memekatkan atau mewarna makanan.

Nenek moyang kita menggunakan garam untuk mengawet daging dan ikan serta rempah ratus bagi menyedapkan makanan. Sementara kuning telur selalu digunakan bagi mengadunkan air dan minyak. Cuka serta gula juga digunakan sebagai aditif makanan bagi mengawet buah-buahan dan membuat jeruk.

Mengikut Peraturan Makanan 1985, jenis aditif makanan yang dibenarkan adalah bahan pengawet yang digunakan untuk mengawal pertumbuhan kulat, bakteria dan yis bagi memanjangkan jangka hayat penyimpanan makanan seperti asid benzoik, asid sorbik dan sulfur dioksida.

Bahan pewarna pula digunakan untuk menjadikan makanan lebih menarik dan merangsang selera makan seperti Allura Red, Sunset Yellow dan Anthocyanin, manakala bahan perisa digunakan untuk memberi dan mengekalkan rasa unik bagi sesuatu makanan seperti bahan perisa ais krim dan bahan perisa untuk minuman.

Penambah perisa digunakan untuk menambah dan memperkuatkan rasa sesuatu makanan seperti monosodium glutamate (MSG), antipengoksidaan pula berfungsi melambatkan proses pengoksidaan yang menyebabkan ketengikan dalam makanan seperti Tokoferol Asid askorbik, Butylated hydroxytoulene (BHT).

Kondisioner makanan ditambah dalam makanan untuk memberi fungsi teknologi untuk mendapatkan makanan yang dimahukan. Kondisioner makanan yang dibenarkan adalah pengemulsi dan agen antibuih, penstabil, pemekat, kanji ubah suai dan agen pengelan, pengawal asid, enzim, pelarut serta agen antipengerakan. Contohnya, asid fosforik, magnesium karbonat, gum xanthan dan lesitin.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 9 Ogos 2015 @ 5:00 AM