PENJAGAAN kulit kaki dan tangan sering diabaikan
PENJAGAAN kulit kaki dan tangan sering diabaikan
Yusliza Yakimir Abd Talib

Wajah mulus, bersih dan berseri dambaan setiap insan bergelar wanita. Oleh itu, pelbagai cara dilakukan demi memastikan kulit sentiasa cantik dan lembap.

Bagaimanapun, ramai menekankan kecantikan kulit wajah tapi sering mengabaikan penjagaan kulit anggota lain seperti tangan dan kaki sedangkan, menjaga kulit pada bahagian itu juga sama penting dengan wajah.

Tidak perlu produk mahal untuk menjaga kecantikan kulit tangan dan kaki, malah dengan hanya menggunakan bahan dari dapur juga mampu membuat kulit bahagian itu berseri dan kekal lembap.

Berikut antara bahan yang anda boleh gunakan sebagai rutin penjagaan kulit tangan dan kaki yang boleh dilakukan sendiri di rumah.

1. Bahan makanan mengandungi asid laktik

Menggunakan bahan makanan mengandungi asid laktik seperti yogurt antara cara mudah mencerahkan kulit kaki dan tangan. Ini kerana asid yang terkandung dalam yogurt dapat mengeluarkan sel kulit mati dan sering digunakan dalam perawatan penjagaan kulit komersial untuk mengatasi masalah kulit kering atau gelap.

Bagaimanapun hanya gunakan bahan mengandungi asid laktik ini pada waktu malam kerana ia boleh menjadikan kulit anda lebih mudah terdedah kepada kerosakan akibat selaran ultra ungu (UV).

Caranya, sapukan lapisan nipis yogurt biasa (tanpa perisa) ke tangan dan kaki sebelum tidur. Biarkan yogurt selama lima hingga 10 minit, dan bilas dengan air suam. Ulangi beberapa kali seminggu.

Ingat bahawa walaupun anda melakukan petua ini, anda masih perlu memakai pelindung matahari SPF 15 atau lebih tinggi pada siang hari untuk mengelakkan kesan selaran cahaya matahari.

PENGGUNAAN bahan semula jadi bantu cerahkan kulit.
PENGGUNAAN bahan semula jadi bantu cerahkan kulit.

2. Makanan sitrus tinggi vitamin C

Asid sitrik yang terkandung dalam makanan sitrus dapat bertindak sebagai agen pengelupas dan membantu mencerahkan tompok gelap, manakala vitamin C dapat meratakan tona kulit dan membantu masalah hiperpigmentasi disebabkan melanin berlebihan.

Jangan sesekali menggunakan makanan sitrus pada kulit wajah dan menggunakan dengan berhati-hati di tempat lain kerana asid akan mengganggu tahap semula jadi pH kulit dan menjadikan anda lebih mudah terdedah kepada UV. Selain itu, jangan gunakan makanan sitrus pada kulit anda lebih daripada sekali seminggu.

Caranya, sapukan jus lemon atau jus oren baru ke kulit tangan dan kaki dengan bebola kapas sebelum tidur. Biarkan selama kira-kira 30 minit, kemudian bilas dengan air suam.

3. Soya atau kanji sebagai lulur

Makanan berasaskan soya seperti tauhu dan makanan berkanji seperti kentang dan beras mempunyai kesan mencerahkan kulit. Tauhu boleh dihancurkan menjadi pes dan digunakan pada kulit, dan kentang boleh dihiris dan digosok terus ke tangan dan kaki.

Bilas puri tauhu atau jus kentang dari kulit selepas 10 hingga 20 minit. Anda juga boleh menggunakan pes tepung beras atau air beras.

Caranya dengan mencampurkan satu sudu besar tepung beras dengan air yang cukup untuk membuat pes dan sapukan pada kulit tangan dan kaki. Biarkan selama 10 hingga 20 minit dan bilas.

Untuk menggunakan air beras pula, bilas satu hingga dua cawan beras dengan air sebelum memasak. Tapis dan simpan air basuhan beras itu. Rendam tangan dan kaki dalam air beras selama 10 minit, kemudian bilas.

KAKI juga perlu diberi perhatian.
KAKI juga perlu diberi perhatian.

4. Pengelupasan dengan serbuk kopi, oat atau gula

Salah satu cara terbaik untuk mengekalkan kulit tangan dan kaki agar sihat dan membantu mengurangkan kegelapan adalah dengan pengelupasan iaitu proses mengeluarkan sel mati daripada permukaan kulit. Bagaimanapun, elakkan pengelupasan lebih daripada sekali atau dua kali seminggu. Anda boleh membuat pengelupasan semula jadi untuk tangan dan kaki dengan mencampurkan minyak zaitun atau kelapa dengan serbuk kopi, oat atau gula.

5. Krim pencerah kulit komersial

Terdapat banyak krim dan losen di pasaran yang direka untuk mencerahkan kulit. Ini boleh didapati di kebanyakan kedai kecantikan, ubat, atau kosmetik. Banyak produk ini berfungsi dengan mengurangkan jumlah melanin dalam kulit yang berfungsi memberikan kulit pigmen.

Bagaimanapun, terdapat risiko berkaitan produk ini dan anda perlu berbincang dengan doktor sebelum menggunakannya. Elakkan produk mencerahkan kulit yang mengandungi bahan terlarang seperti merkuri.

Banyak produk yang mencerahkan kulit mengandungi hidrokuinon dan penggunaan jangka panjang bahan ini sering dikaitkan dengan kanser, jadi elakkan sebarang produk yang mengandungi bahan ini.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 27 November 2018 @ 12:42 PM