ROONEY (tengah) jaring gol tunggal United.
ROONEY (tengah) jaring gol tunggal United.

Newcastle, England: Pengurus Manchester United Louis van Gaal mengakui pasukannya perlu bermain lebih baik namun mereka perlu memburu kemenangan ketiga berturut-turut ketika menentang Newcastle United awal pagi esok.

Kali terakhir United melakukannya adalah pada November lalu apabila kemenangan ke atas CSKA Moscow pada Liga Juara-Juara diikuti kemenangan Liga Perdana Inggeris ke atas West Bromwich Albion dan Watford membuatkan suasana di Old Trafford bertukar ceria.

United, buat seketika berada di tangga kedua liga, namun selepas itu mereka gagal mencatat sebarang kemenangan sehingga 2 Januari yang mana sepanjang tempoh itu mereka turut tersingkir dari Liga Juara-Juara.

United berjaya meringankan beban Van Gaal dengan mencatat kemenangan berturut-turut di laman sendiri namun kemenangan perlawanan Piala FA ke atas pasukan divisyen tiga Sheffield United, yang dibantu jaringan penalti Wayne Rooney pada masa kecederaan belum cukup meyakinkan.

“Keputusan itu bagus namun persembahannya adalah sebaliknya,” kata Van Gaal yang pasukannya menerima tepukan gemuruh ketika berusaha bermati-matian menewaskan pasukan divisyen ketiga itu.

Namun selagi United meneruskan kemenangan, Van Gaal masih mampu bertahan dan pasukannya memburu kemenangan keempat berturut-turut Liga Perdana Inggeris ke atas Newcastle di St James’ Park.

Kemenangan itu akan membolehkan United menyamakan kedudukan dengan Tottenham yang menduduki tangga keempat dan terakhir untuk layak ke Liga Juara-Juara dan menanti kunjungan Leicester City awal pagi Khamis.

“Sewaktu kami memasuki separuh kedua musim ini perlawanan berjalan begitu pantas jadi kami mahu menang dan memperbaiki kedudukan secepat mungkin.”

“Ia bukannya mudah tapi saya tahu kami bertekad melakukannya.” -AFP

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 12 January 2016 @ 10:55 AM