Oleh Mohd Amin Jalil


Seremban: Skuad PKNS FC meleburkan rekod tanpa kalah Negeri Sembilan (NS) Matrix di laman sendiri apabila menewaskan pasukan itu 2-1 dalam saingan Liga Perdana, di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi, malam tadi.

Biarpun beraksi di gelanggang lawan, namun PKNS FC berjaya menguasai sebahagian besar perlawanan.

Kubu NS Matrix diuji seawal minit ke-5 dan ke-8 menerusi penyerang PKNS FC, Patrick Ronaldinho tetapi percubaannya dihalang penjaga gol tuan rumah, Mohd Helmi Eliza Elias.

Situasi itu tidak mematahkan semangat pemain NS Matrix apabila menggandakan usaha melakukan asakan ke kubu PKNS FC.

Percubaan demi percubaan dilakukan barisan depan NS Matrix akhirnya membuahkan hasil apabila Francis Forkey Doe memecah kebuntuan selepas sepakan derasnya dari luar kotak penalti menewaskan penjaga gol pelawat, Mohd Norhaziq, untuk gol pertama pada minit ke-24.

Jaringan itu membangkitkan lagi semangat anak buah K Devan, apabila terus melakukan asakan ke kawasan pertahanan PKNS FC tetapi serangan dilakukan barisan depan tuan rumah gagal menambah jaringan gol.

Bagaimanapun, akibat kesilapan pertahanan NS Matrix dalam situasi kelam kabut di depan pintu gol, PKNS FC menyamakan kedudukan menerusi Gonzalo Manuel Solo pada minit ke-44.

Sebaik aksi bersambung, kedua-dua pasukan lebih berhati-hati melakukan serangan dan PKNS FC hampir menambah gol namun sepakan Mohd Nazrin Syamsulbahri dari luar kotak pada minit ke-69, sekadar terkena palang.

Gabriel Miguel Guerra meletakkan pelawat di depan apabila menjaringkan gol kedua PKNS FC menerusi sepakan percuma dari luar kotak penalti pada minit ke-74.

Kemenangan itu meletakkan PKNS FC sebagai pencabar terkuat kepada Kedah dan T-Team dalam memburu kejuaraan liga musim ini.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 7 Ogos 2015 @ 11:47 PM