AFP

Akron, AS: Juara Masters dan Terbuka AS, Jordan Spieth (gambar) mengintai peluang merampas kedudukan Rory McIlroy sebagai pemain nombor satu dunia apabila bertanding pada kejohanan Jemputan WGC-Bridgestone.

Spieth yang gagal menjuarai Terbuka British di St Andrews bulan lalu, mengetuai senarai pemain pada kejohanan tanpa ‘cut’ itu yang membariskan 48 daripada
50 pemain terbaik dunia.

“Ia pasti satu impian menjadi kenyataan,” kata Spieth semalam mengenai ranking nombor satu. “Pada awal tahun saya mahu bekerja untuk melonjakkan kedudukan dalam ranking dunia. Saya tidak terfikir mampu berada di kedudukan ini atau berpeluang melakukannya.

“Saya berasa diberkati setakat tahun ini. Kami mahu Rory kembali beraksi secepat mungkin. Ia pasti sesuatu yang menakjubkan jika hujung minggu ini saya menjulang trofi dan melonjak satu anak tangga.”

Dua pemenang terakhir WGC-Bridgestone, juara bertahan McIlroy dan Tiger Woods tidak bertanding namun masih ada banyak tarikan pada saingan itu, pertandingan pemanas badan sebelum Kejohanan PGA AS di Whistling Straits.

McIlroy yang mengatasi cabaran Sergio Garcia sebelum menang tahun lalu, mengalami kecederaan buku lali bulan lalu manakala juara Bridgestone lapan kali, Woods tidak dijemput. Woods menang pada 1999, 2000, 2001, 2005, 2006, 2007, 2009 dan 2013.

Spieth berdepan cabaran getir di Kelab Country Firestone termasuk bintang Australia, Jason Day, rakan senegara dari Amerika, Dustin Johnson, Adam Scott dari Australia, Justin Rose dari England dan pemain AS, Rickie Fowler.

Spieth, 22, mendahului Jelajah PGA AS dengan empat kejuaraan musim ini. Pada kejohanan terakhirnya, dia berada dalam kedudukan terbaik merangkul kejuaraan utama ketiga berturut-turut sebelum berkongsi tangga keempat pada Terbuka British di St Andrews.

Dia gagal melayakkan diri ke playoff bersama pemenang Zach Johnson dengan perbezaan satu pukulan jadi dia tampil di Bridgestone dengan penuh bersemangat.

“Saya harap boleh membuktikan saya seorang pemain yang tampil untuk membalas dendam dan perlu melupakan kekecewaan pada Terbuka British secepat mungkin,” jelas Spieth.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 7 Ogos 2015 @ 12:27 PM