JOHNSON (kiri) menerima trofi kejuaraan daripada Pengerusi dan Ketua Pegawai Eksekutif Dell Technologies Michael Dell.
JOHNSON (kiri) menerima trofi kejuaraan daripada Pengerusi dan Ketua Pegawai Eksekutif Dell Technologies Michael Dell.

Miami, AS: Dustin Johnson mengatasi pemain Sepanyol Jon Rahm 1-up untuk muncul juara Kejohanan Match Play-WGC sekali gus menjadi pemain pertama menang semua empat acara WGC.

Johnson yang juga pemain nombor satu dunia, mendahului lawannya 5-up selepas lapan lubang tetapi Rahm yang baru berusia 22 tahun, kembali bangkit dalam usahanya untuk muncul juara termuda acara elit WGC.

Begitupun, impian Rahm gagal dilaksana apabila birdie yang dilakukannya di lubang 18, tersasar manakala Johnson membenam par dari jarak empat kaki untuk par dan muncul juara.

Johnson yang juga juara Terbuka AS, pernah menjulang Kejohanan WGC HSBC 2013, Kejohanan WGC Cadillac 2015, Kejohanan Jemputan WGC Bridgestone 2016 dan Kejohanan WGC Mexico awal bulan ini.

Kejayaannya di Mexico serta di Austin, Texas semalam menyaksikan dia menyertai Tiger Woods selaku pemain yang berjaya memenangi gelaran WGC dua kali berturut-turut.

“Saya tidak dapat bermain baik pada perlawanan pertama dan kedua,” kata Johnson. “Justeru, berjaya muncul juara walaupun tidak bermain dengan baik adalah satu keputusan positif.

Dua kejayaan terbaru Johnson dalam siri WGC menyusul selepas menjuarai Terbuka Genesis di Riviera, Februari lalu yang melonjakkannya selaku pemain nombor satu dunia. Dia pemain pertama sejak Rory McIlroy pada 2014 yang memenangi acara Jelajah PGA AS tiga kali berturut-turut. - AFP

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 28 Mac 2017 @ 7:14 AM