SPIETH
SPIETH
AFP

Akron, AS: Usaha Jordan Spieth merampas kedudukan Rory McIlroy sebagai pemain nombor satu dunia tidak begitu ketara semalam pada kejohanan Jemputan WGC-Bridgestone selepas pusingan pertama yang hambar menyaksikannya ketinggalan lima pukulan di belakang pendahulu.

Juara Masters dan Terbuka AS itu boleh mengambil alih kedudukan McIlroy di puncak ranking hujung minggu ini jika dia menjuarai kejohanan bernilai AS$9.25 juta (RM36.4 juta) di Kelab Country Firestone.

Bagaimanapun, hasrat pemain berusia 22 tahun itu terjejas dengan catatan menyamai par 70 dan ketinggalan jauh di belakang pendahulu, Danny Lee dari New Zealand.

Spieth, yang tidak beraksi sejak Terbuka British di St Andrews bulan lalu, menamatkan pusingan dengan dua birdie dan dua bogey namun yakin dia boleh menyaingi pendahulu.

“Saya hanya perlu meneruskan cabaran,” kata Spieth. “Saya hanya berasa memulakan pusingan hari ini tanpa sebarang emosi.

“Ia satu perjuangan tapi ia sesuatu yang saya nantikan kerana saya belum tersingkir,” katanya.

Spieth menggunakan kejohanan itu sebagai persediaan bagi Kejohanan PGA di Whistling Straits di Wisconsin minggu depan, yang mana dia memburu kejuaraan utama ketiga musim ini.

Lee kelahiran Korea mendahului secara berseorangan selepas berjaya membenam birdie dari jarak jauh untuk mencatat 65.

“Ia hari yang bagus buat saya,” kata Lee. “Saya terlepas beberapa birdie di sana. Ia mungkin dilihat terlalu tamak tapi saya melakukannya. Saya memukul bola dengan baik dan amat gembira dengan keputusan saya.”

Satu pukulan di belakang Lee adalah pemain veteran Amerika, Jim Furyk dan pemain Ireland Utara, Graeme McDowell, kedua-duanya merakam 66.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 8 Ogos 2015 @ 5:09 AM