Oleh Hayati Ibrahim

Putrajaya: Barisan Kabinet baru bertekad melakukan yang terbaik untuk mencapai aspirasi rakyat dan dasar negara.

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak berkata, adalah penting bagi semua pihak untuk bekerjasama sebagai satu keluarga atau pasukan selain saling bantu membantu dan percaya mempercayai.

"Saya percaya perkhidmatan awam di bawah (pimpinan) Ketua Setiausaha Negara akan menjadikan perkhidmatan awam yang boleh diharapkan untuk melonjak pencapaian negara dan mencapai wawasan negara.

"Ini yang mesti disematkan dalam minda dan ingatan bahawa biarlah hari esok lebih baik daripada hari ini dan menerusi cara ini sebagai sebuah kerajaan kita akan sentiasa dapat melihat perubahan semakin positif daripada apa yang kita lakukan,"katanya ketika berucap pada majlis sambutan Aidilfitri Jabatan Perdana Menteri (JPM) 2015 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) di sini, sebentar tadi.

Turut hadir, Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, Menteri dan Timbalan Menteri serta Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Dr Ali Hamsa.

Najib berkata, penjawat awam juga jangan hilang fokus sebaliknya sentiasa mengutamakan dasar transformasi negara demi kesejahteraan rakyat dan negara.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 5 Ogos 2015 @ 2:51 PM