Mohd Iskandar Ibrahim


Putrajaya: Datuk Seri Anwar Ibrahim akan mempengerusikan mesyuarat pertama bagi mengkaji keseluruhan skim perkhidmatan dan saraan penjawat awam dalam tempoh terdekat.

Perdana Menteri berkata, ini kerana beliau mengakui kadar upah dan elaun penjawat awam ketika ini masih dianggap terlalu rendah.

"Saya mengakui dan selepas lebih 10 tahun, belum ada pun jawatankuasa yang harus dipengerusikan Perdana Menteri untuk mengkaji semula sistem skim saraan penjawat awam.

"Jadi, insya-Allah dalam satu atau dua minggu ini, saya akan mempengerusikan mesyuarat pertama bersama Ketua Setiausaha Negara dan Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam untuk meneliti keseluruhan skim perkhidmatan dan saraan penjawat awam," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Program Cakna Madani Perdana Menteri Bersama Agensi Penguatkuasaan di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) di sini, hari ini.

Turut hadir, Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail; Menteri Pengangkutan, Anthony Loke dan Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd Zuki Ali.

Anwar berucap ketika Program Cakna Madani bersama Agensi Penguatkuasa 2023 di Dewan Plenari, Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC), Putrajaya. FOTO HAIRUL ANUAR RAHIM
Anwar berucap ketika Program Cakna Madani bersama Agensi Penguatkuasa 2023 di Dewan Plenari, Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC), Putrajaya. FOTO HAIRUL ANUAR RAHIM

Anwar turut mencadangkan sebarang peningkatan terhadap skim terbabit dibuat secara berperingkat dengan melihat kepada keupayaan kewangan negara.

"Melihat keupayaan kewangan kita, bagaimana kita boleh perbaiki dan tingkatkan. Jadi saya cadang peningkatan itu (dibuat) berperingkat kerana kekangan kewangan sekarang, mungkin kita naikkan berperingkat, melihat kepada keupayaan ekonomi.

"Jadi saya nak saudara yakin di bawah (pimpinan) Anwar di sini, saya beri jaminan apa sahaja yang munasabah dan adil kepada penjawat awam (akan dilaksanakan)," katanya.

Selain itu, beliau turut mencadangkan pemberian insentif kepada agensi yang berjaya mencapai kutipan hasil melebihi sasaran.

Beliau mencadangkan supaya insentif itu diberikan dalam bentuk peralatan, kelengkapan dan kemudahan yang diperlukan bagi memastikan agensi berkenaan dapat menjalankan tugas dengan lebih berkesan.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 13 Julai 2023 @ 7:57 PM