NAJIB  melancarkan buku   pada  MAPPA XIV  dan Persada Transformasi Perkhidmatan Awam, semalam.    Turut hadir,    Muhyiddin   dan  Ali Hamsa.
NAJIB melancarkan buku pada MAPPA XIV dan Persada Transformasi Perkhidmatan Awam, semalam. Turut hadir, Muhyiddin dan Ali Hamsa.
Oleh Mohd Husni Mohd Noor

Putrajaya: Berita baik buat penjawat awam apabila kerajaan semalam mengumumkan bayaran bantuan khas kewangan sebanyak RM500 kepada penjawat awam Gred 54 dan ke bawah pada 25 Jun ini bertujuan mengurangkan beban serta sebagai persiapan menghadapi Ramadan dan Syawal.

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak berkata, bantuan khas kewangan itu turut dinikmati lebih 700,000 pesara kerajaan yang menerima pencen dengan bayaran RM250.

Beliau berkata, kerajaan sentiasa prihatin menjaga kebajikan penjawat awam terutama bagi meringankan beban mereka menyambut Ramadan dan Aidilfitri.

“Kedua-dua pembayaran itu dibuat pada 25 Jun ini membabitkan anggaran implikasi kewangan RM1 bilion,” katanya ketika berucap pada Majlis Perdana Perkhidmatan Awam Keempat Belas (MAPPA XIV) dan Persada Transformasi Perkhidmatan Awam di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) di sini, semalam.

Hadir sama, Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Dr Ali Hamsa.

Lebih 5,000 penjawat awam hadir pada majlis berkenaan.

Dalam pada itu, Najib berkata, bermula 1 November ini, penjawat awam gred 41 dan ke bawah akan menikmati kadar baru terendah Imbuhan Tetap Perumahan (ITP) RM300 sebulan berbanding RM180 yang diterima ketika ini.

Menurutnya, mereka yang mendiami kuarters juga turut menerima faedah dengan mendapat bayaran 25 peratus daripada kadar imbuhan tetap perumahan sebenar yang ditetapkan untuk mereka.

“Keputusan ini memberi manfaat kepada 1.1 juta penjawat awam di seluruh negara membabitkan implikasi kewangan RM1.04 bilion setahun,” katanya.

Sementara itu, Tinjauan Harian Metro semalam mendapati, rata-rata penjawat awam menyambut baik dua keputusan kerajaan itu kerana mampu mengurangkan beban penjawat awam berkenaan.

Pengerusi Yayasan Pesara Kerajaan Malaysia yang juga Presiden Perbadanan Putrajaya (PPj) Tan Sri Aseh Che Mat berkata, beliau bersyukur dengan pemberian bantuan khas kepada pesara yang menunjukkan kerajaan tidak meminggirkan kebajikan golongan berkenaan.

“Saya menyeru kepada semua pesara terus memberikan sokongan kepada kerajaan yang kini berusaha keras bagi mencapai wawasan menjadi negara maju,” katanya.

Pembantu Tadbir di Kementerian Kesihatan Nor Adilah Yahaya, 29, berkata, pemberian bantuan khas kewangan itu mampu mengurangkan beban penjawat awam terutama bagi menyambut Ramadan dan Aidilfitri.

“Terima kasih atas keprihatinan kerajaan dan saya pasti gunakan bantuan itu sebaiknya terutama bagi menyediakan keperluan Aidilfitri yang bakal disambut pertengahan bulan depan.

Sementara itu, kakitangan Jabatan Perkhidmatan Awam, Jevartnam Baby, 33, berkata, pemberian bantuan khas itu satu bentuk budi bicara kerajaan untuk menghargai penjawat awam.

“Bantuan berkenaan tidak terlalu besar dan tidak terlalu kecil, namun memadai untuk menampung perbelanjaan dan meningkatkan produktiviti,” katanya.

Kakitangan Kementerian Kesihatan, Yuzafi Yunus, 38, berkata, pengumuman kadar baru ITP itu juga diharap dapat mengembalikan keyakinan rakyat terutama penjawat awam kepada kepemimpinan kerajaan.

“Kadar imbuhan berkenaan sudah lama diguna pakai dan tiba masanya dinaikkan bagi disesuaikan dengan perkembangan ekonomi semasa.

“Langkah kerajaan menaikkan kadar imbuhan berkenaan dinanti-nantikan penjawat awam,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 18 Jun 2015 @ 8:27 AM