Tokyo: Malaysia dan rakan lama serta rakan dagangan ketiga terbesarnya Jepun, semalam bersetuju meningkatkan hubungan dua hala mereka menjadi satu ‘perkongsian strategik.’
Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak berkata, hubungan antara kedua-dua negara melangkah maju selama bertahun dan kerjasama dalam pelbagai bidang seperti ekonomi, pelancongan dan rakyat dengan rakyat berkembang dengan mantap.
“Dan kita sudah memutuskan untuk meningkatkan hubungan ini menjadi perkongsian strategik yang kita percaya akan meningkatkan hubungan dua hala ini ke tahap yang lebih tinggi,” kata Najib pada sidang akhbar bersama rakan sejawatannya Shinzo Abe selepas mesyuarat dua hala mereka di Pejabat Perdana Menteri Jepun, di sini.
Perdana Menteri yang berada di sini untuk lawatan rasmi tiga hari bermula Ahad sebelum itu diberikan sambutan rasmi barisan kehormatan angkatan pertahanan negara.
Delegasi negara termasuk Duta Malaysia di Jepun Datuk Ahmad Izlan Idris, Menteri Pengangkutan Datuk Seri Liow Tiong Lai, Menteri Di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Idris Jala dan Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Ali Hamsa.
Di bawah perkongsian baru ini yang mengemudi kedua-dua negara dalam perjalanan menuju masa depan, Najib berkata kedua-dua pemimpin berkongsi iltizam untuk meningkatkan kerjasama khususnya dalam lima bidang iaitu kerjasama bagi keamanan dan kestabilan, memastikan perairan yang bebas, terbuka dan stabil, pelaburan melalui Dasar Pandang Ke Timur 2.0 dan ekonomi, melebarkan kerjasama dalam kebudayaan dan pertukaran rakyat dengan rakyat serta sumbangan kepada agenda serantau dan global.
Menurut beliau, Malaysia akan memastikan LEP 2.0 selaras dengan objektif negara menjadi negara berpendapatan tinggi menjelang 2020.
Abe berkata, kedua-dua pemimpin berkongsi pandangan bahawa pelaksanaan kerjasama dalam bidang-bidang ini termasuk teknologi perindustrian maju, perkhidmatan dan kemahiran pengurusan dipercepat.
Beliau berkata, Jepun akan melancarkan Program Latihan LEP 2.0, program latihan baru dibiayai bersama dengan objektif menerima 500 pelatih dari Malaysia dalam tempoh lima tahun akan datang.
“Saya juga memberitahu Perdana Menteri Najib bahawa Jepun akan menyokong Malaysia sebagai pengerusi ASEAN dalam mengetuai kumpulan ini menjadi pertubuhan yang bersepadu,” katanya.