Oleh Afiq Hanif


Kamera baru Fujifilm, X-T10 pantas menggamit pengguna dengan lensa boleh ubah premium menyertai barisan kamera digital siri X yang terkenal di serata dunia.

Menonjolkan kualiti imej hebat hasil teknologi penghasilan warna yang unik, model terbaru ini disasarkan kepada pengĀ­gemar fotografi apabila ia menggabungkan rekaan kompak dan ringan dengan kecemerlangan sistem AF berkeupayaan merakam pergerakan objek.

Pada masa sama, ia turut dilengkapi Real Time Viewfinder elektronik yang menampilkan nisbah magnifikasi 0.62x1, kejituan paparan berdefinisi tinggi 2.36 juta dot dan lat masa 0.005 saat yang terpantas di dunia.

X-T10 menampilkan sensor APS-C X-TransTM CMOS II dengan binaan dalaman pengesanan fasa AF.

Dengan gabungan enjin pemprosesan imej berprestasi tinggi dan lensa Fujinon, kamera ini memberikan resolusi terbaik dan kualiti imej yang hebat disokong teknologi penghasilan warna yang unik.

Kamera sama menggunakan sistem AF terbaru menawarkan 49 titik mod Single Point konvensional bagi kepantasan dan kejituan yang tinggi selain Zone terbaru dan mod Wide/Tracking yang menjejak pergerakan subjek menerusi 77 titik kawasan.

Rekaan terbaru yang memuatkan binaan kompak dan ringan manakala kedua-dua plat atas dan tapak dihasilkan daripada magnesium ringan, tetapi kukuh.

Plat atas menampilkan kejituan bersama tiga butang dail aluminium yang memberikan X-T10 premium dan membenarkan pengguna mengubah kombinasi tetapan apertur, kelajuan shutter dan fungsi rakaman secara intuitif sambil memberikan penumpuan kepada rakaman imej.

Di samping itu, panel belakang memiliki skrin LCD 3.0 inci 920K-dot boleh diubah sesuai untuk kedua-dua rakaman bersudut tinggi dan rendah.

Menariknya, ia turut dilengkapkan dengan mod Auto Mode Switch untuk pemilihan mod automatik Advanced SR Auto.

Pada mod ini, kamera secara automatik memilih tetapan optimum bagi setiap senario rakaman menjadikan proses merakam sangat mudah.

Tetapan kedua-dua butang arahan dan tujuh butang fungsi pula boleh ditetapkan membolehkan anda menyesuaikannya mengikut keperluan rakaman anda.

INFO

FUJIFILM X-T10

- Ciri: Kamera DSLR

- Pro: Kompak

- Pengeluar: Fujifilm

- Pertanyaan: Fujifilm

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 5 Ogos 2015 @ 11:29 AM