Mohamad Hasan (kiri) bersalam dengan Saleumxay Kommasith. FOTO AFP
Mohamad Hasan (kiri) bersalam dengan Saleumxay Kommasith. FOTO AFP
BERNAMA

Kuala Lumpur: Menteri Luar Datuk Seri Mohamad Hasan mengadakan pertemuan dua hala dengan Timbalan Perdana Menteri yang juga Menteri Luar Laos Saleumxay Kommasith serta Menteri Luar Vietnam Bui Thanh Son di Luang Prabang, Laos.

Mohamad dalam hantarannya di Facebook berkata mesyuarat yang dijalankan secara berasingan selepas Pemukiman Menteri-menteri Luar Asean (AMM) pada Isnin itu, menyentuh pelbagai perkara termasuk pengukuhan kerjasama antara Malaysia dengan Laos dan Vietnam.

Menurut Agensi Berita Laos (KPL), dalam pertemuan antara Mohamad dan Kommasith, kedua-dua pihak amat menghargai persahabatan dan kerjasama baik antara Malaysia dan Laos sejak hubungan diplomatik mula terjalin pada 1966.

Pada masa sama, kedua-dua menteri luar itu juga sebulat suara bersetuju untuk terus menggalakkan kerjasama sedia ada dalam perdagangan, pelaburan, tenaga, digital, kewangan dan pelancongan serta terus menyokong antara satu sama lain untuk menggalakkan kerjasama dan pembangunan di peringkat serantau dan antarabangsa.

Mohamad mengetuai delegasi Malaysia pada Pemukiman AMM dari 28 hingga 29 Januari 2024, di Luang Prabang, Laos.

Pemukiman AMM yang dipengerusikan Kommasith, dihadiri Menteri Luar Asean, Setiausaha Agung Asean dan Menteri Luar Timor-Leste selaku pemerhati.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 30 January 2024 @ 4:34 PM