TUAN Shamri (berdiri kanan) bersama skuad bola tampar KBB.
TUAN Shamri (berdiri kanan) bersama skuad bola tampar KBB.
Oleh Fauzi Rahim Mustafa

Sungai Petani: Selepas berhempas-pulas menyaingi lawan di Kejohanan Bola Tampar Majlis Sukan Sekolah-Sekolah Kedah (MSSK) 2015, pasukan perempuan B-18 daerah Kulim/Bandar Baharu (KBB) terpaksa berpuas hati muncul naib juara negeri.

Mereka dipaksa menunda impian bergelar juara oleh lawan final, Pendang dengan kekalahan 1-2 ketika beraksi di Dewan CRC Kota Kenari, baru-baru ini.

Guru jurulatihnya, Tuan Shamri Tuan Ali berkata, pencapaian itu mengatasi rekod tahun lalu apabila KBB hanya berupaya beraksi di suku akhir.

“Kami bermula konsisten biar pun terpaksa berdepan pasukan handal sekolah lain. Saingan tahun ini amat memeritkan kerana penampilan pemain lawan begitu menakjubkan.

“Kami melepasi semua halangan namun terpaksa akur kepada pesaing final yang membuat penampilan lebih baik daripada KBB,” katanya yang dibantu Tian Zhong Weng dan Mohd Ezuwan Ezani.

Tuan Shamri berkata, sebagai tuan rumah kehadiran penyokong berjaya melonjakkan semangat pemain namun ianya tidak cukup mengubah nasib mereka.

“Kami memberi tentangan sengit sehingga set penentuan namun gagal menyaingi Pendang. Ia kemungkinan disebabkan tekanan psikologi dihadapi pemain yang bermain di depan penyokong sendiri.

“Berasakan skuad KBB masih berpeluang merangkul juara Kedah, kami akan kembali dengan semangat baru bagi edisi tahun depan,” katanya.

Dalam peringkat kumpulan, KBB menewaskan Kuala Muda/Yan 2-0 dan Padang Terap juga 2-0.

Mereka terus cemerlang di separuh akhir dengan membenam Baling/Sik 2-0 (25-20, 25-8).

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 4 Ogos 2015 @ 9:56 AM