PEMAIN SK Taman Mutiara girang muncul juara sofbol KBB 2015.
PEMAIN SK Taman Mutiara girang muncul juara sofbol KBB 2015.
Oleh Fauzi Rahim Mustafa

Kulim: Skuad Bawah 12 (B-12) tahun lelaki dan perempuan SK Taman Mutiara (SKTM) muncul kuasa baru apabila mendominasi Kejohanan Sofbol MSSD Kulim/Bandar Baharu (KBB) 2015, baru-baru ini.

Selepas diberi tanggungjawab melonjakkan nama sekolah, pemain SKTM merealisasikan impian itu dengan mencatat keputusan positif sepanjang kejohanan di SMK Panglima Besar.

Skuad perempuan yang dilatih Mohd Zuhairi Azfar Ab Rani sambil dibantu Azliza Che Ahmad, mengejutkan pesaing lain apabila muncul juara MSSK KBB menerusi penyertaan sulung mereka.

“Ini sesuatu yang menakjubkan. Tuah penyertaan pertama disulam dengan kesungguhan pemain membolehkan kami menuai hasil,” kata Zuhairi Azfar.

Skuad itu muncul juara Kumpulan A selepas membenam cabaran SK Tunku Abdul Malik (SKTAM) 19-2 dan SK Air Merah 7-5 sekali gus layak beraksi di final bertemu SK Permatang Tok Dik (SKPTD) sebelum menang tipis 9-8.

Bagi skuad lelaki pimpinan Mohd Burhan Shuib, mereka melunaskan impian bergelar juara selepas hanya berpuas hati di tempat ketiga tahun lalu.

“Azam serta komitmen pemain antara faktor kami muncul juara kali ini. Guru Besar Jaafar Ahmad juga menjadi penyuntik semangat kami,” katanya yang dibantu Zulqurnain Mat Ghani dan Zaharah Jusoh.

Di peringkat kumpulan mereka menduduki tempat kedua Kumpulan B apabila menang 7-1 ke atas SKPTD sebelum tewas 11-12 kepada SKTAM. Di suku akhir, mereka menewaskan SK Pagar Museh 12-3 sebelum mengatasi SK Jalan Paya Besar 14-7 dalam kelompok empat terbaik.

Perlawanan akhir menyaksikan mereka mengetepikan SK Sungai Kob 12-7 sekali gus layak mewakili KBB ke kejohanan peringkat negeri yang akan diadakan di SM Teknik, Alor Setar, Kedah.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 21 Mei 2015 @ 9:18 AM