AFP

Mexico City: Selepas 43 hari menjadi buruan, pasangan suami isteri yang dikehendaki kerana dipercayai terbabit atas kehilangan 43 pelajar pada 26 September lalu ditangkap semalam.

Digelar ‘Pasangan Diraja’, Jose Luis Abarca dan Maria de los Angeles Pineda ditangkap dalam serbuan di sebuah rumah sederhana - dengan pintu berwarna merah jambu - di kawasan padat penduduk di Iztapalapa menjelang Subuh semalam.

Abarca pernah berkhidmat sebagai Datuk Bandar Iguala.

Jurucakap polis berkata, rumah itu memang menjadi satu daripada lokasi diawasi pihak berkuasa sejak insiden berkenaan disiasat.

Iztapalapa terletak di antara kawasan pergunungan kira-kira 200 kilometer di selatan Mexico City.

Jurucakap polis berkata, seorang wanita yang membantu menyembunyikan pasangan terbabit juga ditangkap.

“Mereka dibawa bertemu pendakwa raya untuk menjawab tuduhan mengarahkan polis menyerang kumpulan pelajar yang mengetuai protes sehingga mengganggu Maria yang ketika itu menyampaikan ucapan sebagai ketua agensi perlindungan kanak-kanak tempatan,” katanya.

Secara keseluruhan, enam orang maut, 25 cedera dan 43 lagi hilang dalam insiden berlaku pada waktu malam itu.

Sumber berkata, polis yang menerima arahan Abarca menyerahkan pelajar terbabit kepada kumpulan pengedar dadah Guerreros Unidos.

Walaupun gerakan mengesan besar-besaran dibuat, kedudukan pelajar terbabit masih menjadi tanda tanya.

Siasatan pihak berkuasa terhadap kehilangan itu juga membawa kepada penemuan kubur mengandungi 38 mayat tidak dikenali di Iguala.

Pada Februari lalu polis menemui kira-kira 40 mayat lain di kawasan berkenaan.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 6 November 2014 @ 5:01 AM