SEORANG wanita dengan nombor 43 dicat pada dahinya, merujuk kepada jumlah pelajar yang hilang, menyertai tunjuk perasaan di Mexico City, semalam.
SEORANG wanita dengan nombor 43 dicat pada dahinya, merujuk kepada jumlah pelajar yang hilang, menyertai tunjuk perasaan di Mexico City, semalam.

Mexico City: Sekurang-kurangnya seorang daripada 43 pelajar Mexico yang hilang dikenal pasti menerusi saki-baki mayat ditemui di satu kawasan pembuangan sampah.

Penemuan itu sekali gus meningkatkan kebimbangan bahawa semua pelajar berkenaan mati dibunuh.

Pihak berkuasa menghantar sisa mayat berkenaan ke sebuah universiti perubatan di Austria bulan lalu selepas kumpulan yang disokong polis mengaku membunuh pelajar berkenaan dan membakar mayat mereka di Guerrero, negeri di selatan Mexico, September lalu.

“Satu daripada tulang yang ditemui itu milik seorang pelajar,” kata seorang pegawai persekutuan semalam.

Sekiranya semua 43 pelajar disahkan mati, ia menjadi pembunuhan beramai-ramai paling buruk dalam perang dadah yang meragut lebih 80,000 nyawa dan menyebabkan 22,000 orang hilang di negara itu sejak 2006.

Jurucakap keluarga 43 pelajar itu, Delipe de la Cruz berkata, pihaknya akan terus mencari 42 mangsa lain.

Ibu bapa pelajar berkenaan menolak dakwaan anak mereka dibunuh dan menuntut kerajaan mencari semua mangsa.

Pihak berkuasa berkata, pelajar itu yang juga guru pelatih hilang selepas kumpulan yang ada hubungan dengan polis menyerang bas mereka di bandar Iguala pada 26 September, atas arahan datuk bandar dan isterinya.

Polis menyerahkan 43 pelajar kepada kumpulan dadah Guerrros Unidos yang memberitahu penyiasat mereka membawa mangsa dalam dua trak ke tapak pembuangan sampah, membunuh, membakar mayat mangsa dan mencampakkannya ke dalam sungai.

Pendakwa raya bagaimanapun enggan mengisytiharkan pelajar itu mati, sebaliknya mahu menanti keputusan ujian DNA dari Unversiti Innsbruck di Ausrtia. - AP

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 8 Disember 2014 @ 7:53 AM