SEBUAH peti surat di Liverpool, barat laut England.
SEBUAH peti surat di Liverpool, barat laut England.

London: Perkhidmatan pos Britain akan mengguna teknologi tinggi untuk memerangi kegiatan mencuri peti surat di tepi jalan raya di seluruh negara itu.

Royal Mail kelmarin mendedahkan rancangan menggunakan penanda forensik untuk mengenal pasti peti surat yang dicuri dan beberapa teknologi canggih bagi mengawasi mercu tanda ikonik jalan raya dan kawasan desa itu.

Syarikat berkenaan sebelum ini memberi amaran mengenai kehilangan peti surat itu, khususnya di kawasan luar bandar.

Ia akan bergabung dengan Historic England, sebuah agensi awam bagi melindungi 115,500 peti surat berkenaan di seluruh negara.

Kumpulan Kajian Peti Surat, persatuan peminat peti surat bersejarah Britain menganggarkan 200 peti surat berwarna merah menyala itu dicuri setiap tahun.

Antara yang dicuri tahun ini ialah empat peti surat era Victoria yang dicuri dalam masa sehari di tiga kampung di Norfolk, timur England, Januari lalu.

Robert Cole dari Kumpulan Kajian Peti Surat berkata, terdapat tiga kemungkinan peti surat itu dicuri.

“Pertama, mereka mahu menjualnya sebagai besi buruk. Kedua, mereka berminat dengan apa yang berada di dalam peti surat itu. Ketiga, mereka tahu nilai sejarah peti surat itu,” katanya.

Seiring dengan peningkatan harga logam, satu teori di sebalik jenayah itu ialah, apabila Royal Mail berhenti melelong peti surat lama pada 2003, ia mengurangkan bekalan, sekali gus menaikkan harga.

Kajian menerusi Internet menunjukkan orang ramai bersedia membayar sehingga £5,775 (RM35,000) untuk mendapatkan sebuah peti surat itu. - Agensi

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 3 Ogos 2015 @ 10:50 AM