MACDONALD menunjukkan alat sulit di tangan kirinya. FOTO Agensi
MACDONALD menunjukkan alat sulit di tangan kirinya. FOTO Agensi
Agensi

London: Seorang bapa dari bandar Norfolk, England yang kemurungan selepas hilang zakarnya akibat jangkitan dalam darah diibaratkan hidup kembali selepas doktor membina 'kemaluan baharu' di tangan kirinya.

Akhbar The Sun melaporkan Malcolm MacDonald, 45, kehilangan kemaluannya pada 2014 akibat sakit dialaminya.

Pakar perubatan tempatan, Professor David Ralph kemudiannya menawarkan diri untuk menghasilkan zakar baharu daripada tisu badan Malcolm dua tahun kemudian.

Kemaluan itu dihasilkan dengan mengambil kulit dan tisu tangan pesakit dan 'digulung' menjadi bentuk zakar. Ia mempunyai salur darah serta sarafnya sendiri.

"Pada mulanya ia kelihatan pelik tetapi inilah peluang saya untuk kembali menjalani kehidupan normal," kata MacDonald yang menamakan alat sulit baharunya itu sebagai 'Jimmy'.

Katanya, pembedahan memindahkan kemaluan baharu di tangan kirinya ke tempat sepatutnya dijadualkan dua tahun lalu namun berulang kali tertangguh akibat pelbagai halangan termasuklah disebabkan penularan pandemik Covid-19.

"Banyak kali pembedahan tertangguh disebabkan masalah jadual. Saya pula pernah jatuh sakit pada hari pembedahan sepatutnya dilakukan. Selain itu, masalah kekurangan staf hospital juga pernah berlaku di samping penularan Covid-19 di Britain.

"Saya berharap pembedahan memindahkan kemaluan saya ke tempat sepatutnya dapat dilakukan paling lewat pada hujung tahun ini," ujarnya.

Sebelum ini, seorang lelaki yang tidak didedahkan identiti menjadi antara segelintir individu di dunia yang mendapat zakar 'bionik' tersebut pada tahun 2005.

Pada 2013 seorang pengawal keselamatan di Britain menjalani operasi serupa.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 2 Ogos 2020 @ 11:54 AM