GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Oleh Ahmad Hasbi


Seremban: Trend penipuan pelaburan dilihat semakin popular dengan tawaran pulangan yang kompetitif berbanding simpanan biasa menyebabkan ramai gelap mata dan menjadi mangsa.

Setakat Mei lalu, kes penipuan pelaburan di Negeri Sembilan menunjukkan peningkatan yang tidak ketara berbanding tempoh sama tahun lalu, namun jumlah kerugian meningkat hampir RM7 juta.

Banyak iklan berkaitan pelaburan dipelbagai aplikasi menunjukkan bukti kononnya ahli yang menyertai skim yang ditawarkan sudah mendapat keuntungan setiap hari.

Aplikasi paling digemari sindiket adalah melalui Telegram yang mana mangsa dimasukkan ke dalam kumpulan sembang secara rambang dan ahli sindiket yang menyamar sebagai pelabur atau orang awam akan berkongsi keuntungan masing-masing.

Timbalan Ketua Polis Negeri Sembilan Datuk Abdul Khalid Othman berkata, sepanjang 2023, sebanyak 399 kes penipuan pelaburan dilaporkan dengan kerugian mencecah RM17 juta.

"Bagaimanapun, setakat Mei tahun ini sahaja, sebanyak 136 kes penipuan pelaburan dilaporkan di negeri ini dan jumlah kerugiannya sudah mencecah RM10.2 juta.

"Berbanding tempoh sama tahun lalu, terdapat kenaikan dua kes dengan jumlah kerugian RM3.3 juta.

"Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Seremban mencatatkan jumlah laporan kes paling tinggi sepanjang tahun lalu iaitu 158 kes dengan kerugian RM11.1 juta," katanya dihubungi.

Mengulas berkaitan sasaran yang dijadikan mangsa, beliau berkata, semua orang berisiko namun berdasarkan data, individu berusia antara 31 hingga 40 tahun paling ramai menjadi mangsa skim pelaburan tidak wujud pada tahun lalu.

Beliau berkata, taktik sindiket adalah dengan mengiklankan skim pelbagai pelaburan seperti forex atau matawang, saham, emas dan aset digital di media sosial.

"Sindiket penipuan pelaburan ini mencari mangsa dengan menggunakan nama individu berpengaruh seperti selebriti termasuk agamawan, bagi mempengaruhi mangsa.

"Sindiket menawarkan pelaburan tanpa risiko serta jaminan keuntungan yang tinggi mengakibatkan ramai individu tertarik," katanya.

Justeru, beliau berkata, masyarakat dinasihati supaya mencari ilmu pengetahuan berkaitan mana-mana skim pelaburan yang ditawarkan dan tidak mudah terpengaruh.

"Jangan sesekali menyertai skim pelaburan yang tidak dilesenkan atau diiktiraf oleh Bank Negara Malaysia (BNM) dan Suruhanjaya Sekuriti," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 16 Jun 2024 @ 11:38 AM