ANTARA kapal persiaran Britannia milik P&O. FOTO P&O
ANTARA kapal persiaran Britannia milik P&O. FOTO P&O
Agensi

London: Syarikat kapal persiaran Britain, P&O Cruises menawarkan pelayaran tanpa destinasi pada musim panas ini kepada penumpang yang sudah menerima suntikan vaksin.

Memetik CNN Travel, pelayaran pertama akan bermula di pelabuhan selatan England, Southampton, pada penghujung Jun, di pesisiran pantai United Kingdom (UK).

Pelayaran khas berkenaan dijadualkan tidak akan berhenti di mana-mana destinasi, namun penumpang berpeluang menikmati keindahan pulau dan pesisir pantai secara dekat.

Laluan tepat akan ditentukan berdasarkan keadaan semasa lautan.

"Setiap pelayaran akan berpandukan ramalan cuaca kerana kami menyasarkan membawa kapal dalam suasana hangat dan cuaca cerah," kata Presiden P&O Cruises, Paul Ludlow dalam satu kenyataan.

P&O juga mengesahkan, akan menyediakan langkah keselamatan tambahan untuk penumpang dan anak kapal sepanjang pelayaran termasuk penjarakan fizikal sesuai dan pemakaian pelitup muka di kawasan tertentu dalam kapal.

Pelayaran khas P&O itu akan dimulakan dengan Britannia Cruise yang biasanya dapat menampung 3,647 orang penumpang, pada satu-satu masa.

Kapal baharu, Iona pula yang mampu memuatkan 5,200 penumpang dan masih belum dilancarkan, dijangka melakukan pelayaran pertama menuju ke Scotland pada Ogos.

Penumpang perlu menunjukkan bukti mereka lengkap mengambil dua dos vaksin Covid-19 serta insuran perjalanan manakala anak kapal tidak perlu divaksin tetapi akan menjalani kuarantin dan ujian berkala sepanjang berada di atas kapal.

P&O mengikuti langkah syarikat kapal persiaran UK lain iaitu Saga dan Crystal Cruises di Amerika Syarikat yang mewajibkan penumpang divaksin terlebih dulu sebelum dibenarkan menaiki kapal.

Royal Caribbean juga merancang pelayaran khusus penumpang yang menerima suntikan vaksin untuk kapal baharunya Odyssey of the Seas yang akan berlepas dari Israel pada Mei ke kepulauan di Greek dan Cyprus.

Kapal pesiaran Richard Branson, Virgin Voyages yang belum dilancarkan, mengumumkan pelayaran mereka hanya akan menampung penumpang dan anak kapal yang sudah menerima vaksin saja.

Sementara itu, kapal persiaran UK lain juga merancang pelayaran khas pada musim panas antaranya termasuk Viking Cruises pada penghujung Mei dan Fred Olsen Cruise Lines, Julai ini.

  • Lagi berita berkaitan Perintah Kawalan Pergerakan
  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 21 Mac 2021 @ 6:45 AM