PEMAIN City Manu Garcia (tengah) melakukan percubaan ke pintu gol Vietnam.
PEMAIN City Manu Garcia (tengah) melakukan percubaan ke pintu gol Vietnam.
Reuters

Hanoi: Raheem Sterling menyumbat dua gol dalam tempoh 12 minit untuk membantu Manchester City membelasah Vietnam 8-1 kelmarin, melengkapkan pramusim mengagumkan selepas berpindah dari Liverpool baru-baru ini.

Pemain Inggeris itu yang meninggalkan Anfield dengan yuran £49 juta (RM291 juta), menyempurnakan dua gol itu dalam tempoh 31 minit pertama berikutan asakan bertali-arus ke kawasan penalti lawan yang mengejutkan Vietnam.

Aleksandar Kolarov dan David Silva masing-masing menjaringkan satu gol pada setiap babak buat City yang menguji beberapa pemain muda.

Kemenangan itu yang ketiga buat City dalam empat perlawanan pramusim selepas menang di Australia ke atas Melbourne City dan AS Roma sebelum tewas 1-4 kepada Real Madrid. City bertemu VfB Stuttgart di Jerman, Sabtu ini.

Kolarov meletakkan pelawat di depan selepas 11 minit, melencongkan sepakan percuma dari jarak 25 ela ke penjuru gol lawan.

Sterling menyumbat gol pertamanya pada minit ke-19 dengan satu sepakan lencong menakjubkan dari sudut sukar selepas menerima hantaran Silva. Silva kemudian menampan masuk bola muntah beberapa minit kemudian selepas tandukannya ditolak ke palang oleh penjaga gol Vietnam, To Vinh Loi.

City menjadikan kedudukan 4-0 apabila Sterling meluru ke kawasan penalti sebelum merembat leret ke penjuru gol selepas hantaran satu dua dengan penyerang Nigeria, Kelechi Iheanacho.

Vietnam cuba bertahan dan sesekali mendapat peluang dengan gerakan baik antara Le Cong Vinh dan Nguyen Van Quyet sedikit menghiburkan penonton tuan rumah.

Namun ia tidak bertahan lama dengan Kolarov menyempurnakan sepakan penalti enam minit selepas rehat dan Silva menambah gol kedua dari jarak dekat.

Marcos Lopes menewaskan penjaga gol selepas 73 minit dan Jose Angel Pozo menjadikannya 8-0, 12 minit sebelum tamat.

Vietnam meraih gol saguhati pada masa kecederaan apabila Van Quyet melambungkan bola melepasi penjaga gol gantian, Willy Caballero.

Pengurus City Manuel Pellegrini berkata, Sterling membuktikan kenapa dia menjadi buruan kelab itu.

“Anda saksikan cara dia bermain hari ini, dia mempunyai kepantasan,” kata Pellegrini.

“Raheem pemain yang amat bagus, itulah sebabnya kami membawanya ke dalam pasukan kami. Dia mempunyai banyak perkara yang kami tidak miliki dalam skuad kami.”

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 29 Julai 2015 @ 7:59 AM