London: Sergio Aguero menyumbat hatrik ketika Manchester City memastikan Queens Park Rangers tersingkir daripada Liga Perdana dengan kemenangan besar 6-0 di Stadium Etihad, malam tadi.

Kekalahan besar itu meninggalkan QPR di tangga tercorot, sembilan mata berbanding zon selamat dengan hanya maksimum enam mata buat kelab barat London itu daripada baki dua perlawanan musim ini.

Sebaliknya, kemenangan itu menyaksikan penyandang juara kekal di tangga kedua di belakang juara baru Chelsea sekali gus memastikan tempat mereka ke Liga Juara-Juara musim depan.

Pasukan Chris Ramsey dihukum seawal minit keempat apabila Aguero, pendahulu penjaring gol terbanyak Liga Perdana, mengatasi kelemahan benteng lawan sebelum menewaskan penjaga gol QPR, Robert Green.

Aleksandar Kolarov menggandakan pendahuluan City menerusi sepakan percuma menarik pada minit ke-32.

Aguero menjadikan kedudukan 3-0 pada minit ke-50 selepas pemain Korea Selatan, Yun Suk Young gagal menangani lorongan bola David Silva.

Silva kemudiannya dijatuhkan dalam kotak penalti, Aguero melengkapkan hatriknya menerusi penalti pada minit ke-65 untuk mengumpul 25 gol dalam Liga Perdana musim ini.

Bintang Argentina itu kemudian menjadi pengumpan gol kelima City jaringan James Milner pada minit ke-70 sebelum Silva melengkapkan jaringan tiga minit sebelum tamat. - AFP

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 11 Mei 2015 @ 7:46 AM