TOURE jaring gol kemenangan City.
TOURE jaring gol kemenangan City.
AFP

Manchester, England: Manuel Pellegrini yakin Manchester City berhak menang 2-1 ke atas Norwich biarpun hampir kehilangan status pendahulu Liga Perdana Inggeris akibat kesilapan Joe Hart.

Penalti saat akhir Yaya Toure memastikan City kekal di tangga teratas hasil kealpaan John Ruddy.

Ruddy menepis hantaran Jesus Navas namun tersasar dari posisi ketika mengejar bola itu dan dilihat mengasari Fernando sebelum percubaan Raheem Sterling dihalang kapten Norwich Russell Martin, yang kemudiannya dibuang padang.

Tiada siapa meraikan kejayaan Toure lebih daripada Hart yang melakukan kesilapan memalukan beberapa minit sebelum itu apabila melepaskan bola kepada Cameron Jerome, yang menjaringkan gol penyamaan Norwich selepas Nicolas Otamendi meledak gol pembukaan.

City sepatutnya menang dengan jurang lebih besar tetapi Aleksandar Kolarov mensia-siakan penalti dengan sepakan terakhir perlawanan selepas Robbie Brady menjatuhkan Sterling.

Mereka kekal di tangga teratas di depan Arsenal dan pengurus City Pellegrini nampaknya berpuas hati ketika membincangkan mengenai kesilapan Hart dan semangat juang pasukan.

“Joe Hart seorang manusia. Sesiapa pun boleh melakukan kesilapan. Dia menyelamatkan dua gol pada perlawanan itu juga kerana dia penjaga gol yang baik,” kata Pellegrini.

“Tentu sekali kami berhak menang. Kami cuba menjaringkan gol sejak awal, Norwich bertahan dengan baik dan sukar mencipta ruang.

“Kami mencipta tiga atau empat peluang tetapi kami menjaringkan gol cantik menerusi Otamendi.

“Mereka menyamakan kedudukan kerana kami tidak bernasib baik. Permainan mereka tidak menjadi.

“Kami mempamerkan karakter dan kesungguhan pada lapan minit terakhir.

“Kami menjaringkan satu penalti dan mensia-siakan satu lagi. Ada kalanya kami sukar mencipta ruang tapi berhak mendapat tiga mata.”

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 2 November 2015 @ 5:08 AM